GELANGGANG kosong pada waktu dijadualkan bernula saingan antara Milwaukee Bucks dan Orlando Magic di Lake Buena Vista, Florida. FOTO Getty Images/AFP
GELANGGANG kosong pada waktu dijadualkan bernula saingan antara Milwaukee Bucks dan Orlando Magic di Lake Buena Vista, Florida. FOTO Getty Images/AFP
BERNAMA

PERSATUAN Bola Keranjang Kebangsaan Amerika Syarikat (NBA) pada Rabu menangguhkan tiga perlawanan semula selepas Milwaukee Bucks enggan beraksi sebagai membantah perkauman dan kekejaman polis, ekoran insiden tembakan membabitkan lelaki kulit hitam di Wisconsin, lapor Agensi Anadolu.

NBA berkata, perlawanan yang ditangguhkan itu ialah antara Bucks dan Orlando Magic, Los Angeles Lakers dan Portland Trailblazers serta Houston Rockets dan Oklahoma City Thunder.

Perlawanan akan dijadual semula tetapi tarikh serta masa belum ditetapkan.

"WE DEMAND CHANGE. SICK OF IT," kata bintang Lakers, LeBron James, di Twitternya sejurus sebelum pengumuman NBA.

LEBRON James. FOTO Getty Images/AFP
LEBRON James. FOTO Getty Images/AFP

Sebelum pengumuman NBA, banyak laporan mengatakan beberapa pasukan termasuk Thunder dan Houston Rockets merancang mahu mengikut langkah Bucks memboikot perlawanan semula.

Ia berlaku di tengah-tengah protes terhadap tindakan polis yang melepaskan tujuh das tembakan terhadap Jacob Blake, seorang lelaki kulit hitam dalam satu kejadian pada Ahad di Kenosha, Wisconsin, menyebabkan beliau lumpuh.

Kejadian itu mencetuskan tunjuk perasaan di bandar Kenosha, menentang ketidakadilan kaum dan kekejaman polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 12:32 PM