Pedro Rodriguez. FOTO Agensi
Pedro Rodriguez. FOTO Agensi
AFP

PENYERANG Sepanyol, Pedro Rodriguez menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab Serie A, Roma selepas meninggalkan Chelsea dengan perpindahan percuma.

Pemain berusia 33 tahun yang pernah memenangi Piala Dunia itu menjadi pemain pertama ditandatangani kelab Itali berkenaan dengan perjanjian sah sehingga Jun 2023.

"Saya gembira untuk berada di sini. Saya teruja untuk memenuhi cabaran ini dan bersaing mencapai sasaran kelab bagi musim akan datang." kata Pedro.

Bekas penyerang Barcelona dan Chelsea sudah memenangi 25 trofi utama dalam kariernya termasuk Liga Juara-Juara, Liga Europa, Liga Perdana dan La Liga.

Dia melakukan 65 penampilan bersama Sepanyol, menjaringkan 17 gol, menang Piala Dunia pada 2010 dan Kejohanan Eropah pada 2012.

"Ia satu kelebihan buat kami untuk mengalu-alukan kehadiran pemain berkualiti seperti Pedro dalam keluarga Roma," kata CEO Roma, Guido Fienga.

Pedro menghabiskan lima musim lalu di Chelsea serta membantu kelab itu memenangi Liga Perdana, Piala FA dan Liga Europa sepanjang beraksi bersama kelab Inggeris itu.

Dia memulakan karier senior di Barcelona, apabila memenangi treble dua kali dan Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali termasuk menjaringkan gol pada final 2011.

Roma menamatkan saingan Serie A di tempat ke lima musim lalu dengan kempen musim baharu bola sepak Itali dijangka bermula pada 19 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 10:38 AM