Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedang berusaha 'memujuk' Korea Utara membatalkan hasrat untuk menarik diri daripada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan disambung pada bulan depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John dan memberitahu kedua-dua pihak sedang berunding ketika ini.

Difahamkan, tindakan Korea Utara mahu menarik diri adalah disebabkan kebimbangan pemain dan pegawai negara itu terhadap jangkitan Covid-19 apabila beraksi di pusingan kelayakan itu kelak.

Justeru, AFC ketika ini sedang meyakinkan Korea Utara terhadap keselamatan pasukan dan mahu negara itu meneruskan kempen berkenaan.

Jelas Windsor, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya seminggu atau 10 hari lagi sebelum memberi pengesahan mengenai status Korea Utara serta perubahan pengiraan format yang mungkin berlaku jika pasukan itu sah menarik diri.

"Ya betul (Korea Utara mahu menarik diri), tapi kita sedang berbincang dengan mereka. Harap dalam seminggu hingga 10 hari lagi (AFC akan memuktamadkan status Korea Utara)," katanya ringkas kepada Arena Metro.

Sebelum ini, Korea Utara dilaporkan mahu menarik diri daripada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 seterusnya bakal mengubah nasib skuad Harimau Malaya dalam usaha melayakkan diri secara merit ke Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia itu.

Ia disebabkan tindakan penarikan diri itu bakal membawa kesan buruk kepada semua pasukan yang bertanding termasuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe di mana kemungkinan keputusan aksi menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan tidak akan dikira.

Ini bermakna, dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia dalam Kumpulan G sebelum ini tidak akan diambil kira sekali gus menyaksikan pasukan negara hanya meraih tiga mata selepas turut menewaskan Thailand sebelum ini.

Jika situasi itu diambil kira, pasukan negara tiada pilihan lain apabila wajib mencari kemenangan dalam baki tiga aksi kempen kelayakan di Dubai pada Jun ini dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 11:55 PM