KHALIL Khamis. FOTO Mohd Rafi Mamat
KHALIL Khamis. FOTO Mohd Rafi Mamat
Asrol Awang


STATUS pemain import Pahang, Khalil Khamis kini menjadi tanda tanya berikutan masih belum bersama skuad Tok Gajah.

Ketika ini, pemain berasal dari Lubnan itu masih berada di negaranya dan tiada sebarang pengesahan Khalil akan kembali ke Pahang.

Skuad kendalian Dollah Salleh amat memerlukan Khalil ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) yang tertangguh Mac lalu, bersambung pada 26 Ogos ini.

Mengulas status Khalil, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, setakat ini, pemain pertahanan itu masih berada di Beirut, Lubnan.

Katanya, peraturan yang ditetapkan kerajaan Lubnan yang menyekat rakyatnya keluar dari negara itu menyebabkan urusan Khalil kembali bersama pasukan terbantut.

"Kami ada menghubungi Khalil dan peraturan kerajaan di negara itu menyebabkan urusan membawa Khalil tersekat.

"Pahang amat memerlukan khidmat Khalil memandangkan Liga M akan bermula sebulan lagi secepat mungkin kerana jika kembali ke Malaysia, dia perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari.

"Sudah pasti tempoh itu memelrukan masa untuk Khalil benar-benar cergas selepas lama tidak menjalani latihan bersama rakan sepasukan," katanya.

Mengulas status seorang lagi pemain import dari Filipina, Adam Reed, Mohammed Suffian berkata, pemain tengah itu sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Katanya, setakat ini, pemain itu masih lagi belum menjalani latihan bersama pasukan.

"Kita harapkan sebaik tempoh kuarantin tamat, ujian calit terakhir yang dilakukan dia bebas daripada wabak Covid-19 dan boleh menyertai rakan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 9:27 PM