LEE Tuck bersetuju sarung jersi Pahang. FOTO Ihsan Lee Tuck
LEE Tuck bersetuju sarung jersi Pahang. FOTO Ihsan Lee Tuck
Asrol Awang


Kuantan: Sergio Aguero dan Lee Tuck sah menyarung jersi skuad Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Pengesahan dua pemain import itu diumumkan oleh pengurus Tok Gajah Datuk Mohammed Suffian Awang yang mengharapkan jentera serangan dan tengah skuad itu lebih padu musim depan.

"Selepas mengadakan perbincangan, Aguero dan Tuck bersetuju menyarung jersi skuad Pahang.

"Dengan kehadiran dua import ini diyakini memperkasakan pasukan yang turut dibarisi dua lagi import baharu.

"Bagi musim depan, hanya Herold Goulon kekal bersama Pahang dan dua lagi kuota akan diisi pemain dari Asia dan Asia Tenggara," katanya.

Musim ini, Aguero berasal dari Argentina bermain dalam Liga M3 manakala Tuck pula bersama Terengganu FC (TFC).

Ditanya kuota dua pemain dari Asia dan Asia Tenggara, Mohammed Suffian berkata, antara pilihan pemain dari Palestin, Korea Selatan, Australia dan Singapura.

Katanya, pemain yang akan mengisi posisi di bahagian serangan dan pertahanan.

"Oleh itu kita harap dapat menyenaraikan lima pemain import dalam tempoh terdekat," katanya.

Musim ini, Pahang mempertaruhkan Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Ivan Carlos (Brazil), Khalil Khamis (Lubnan) dan Adam Reed (Filipina) dan Goulon dari Perancis.

Namun, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) memutuskan hanya Goulon yang beraksi di posisi pertahanan dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 10:40 PM