LAMPARD nafi Chelsea ada kelebihan berbanding United. FOTO AFP
LAMPARD nafi Chelsea ada kelebihan berbanding United. FOTO AFP
AFP

FRANK Lampard menolak dakwaan pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bahawa Chelsea akan dapat kelebihan dalam aksi separuh akhir Piala FA kerana mereka mempunyai tempoh rehat lebih panjang.

Chelsea tumpas 0-3 dengan Sheffield United Sabtu lalu namun berjaya bangkit mengalahkan Norwich di Stamford Bridge tiga hari kemudian, sebelum mempunyai lima hari bagi saingan separuh akhir awal pagi Isnin.

United seri 2-2 dengan Southampton di Old Trafford Isnin lalu, sebelum menang 2-0 di Crystal Palace kelmarin.

Walaupun United hanya mempunyai tempoh tiga hari bagi membuat persediaan untuk aksi Isnin ini, Lampard menolak mengenai kelebihan rehat panjang yang dimiliki mereka.

"Kita berada di dalam tempoh, di mana beraksi secara kerap dan kita akan bergilir bermain, rehat, bermain sekali lagi, rehat dan melalui proses pemulihan serta bekerja dengan skuad.

"Ini isu lama. Ramai pengurus sudah memperkatakan mengenai perkara ini sejak dulu lagi namun dalam masa sama ia bukan mengenai kelebihan atau tidak.

"Adakalanya ia akan memberi kelebihan kepada anda jika bermain secara kerap, jadi saya rasa ia satu masalah," kata Lampard.

Chelsea, juga sedang bersaing dengan United untuk slot Liga Juara-Juara, namun mereka tidak dapat menurunkan N'Golo Kante di Wembley.

Bekas pemain tengah Leicester itu terpaksa diketepikan akibat mengalami kecederaan hamstring, menyaksikan Jorginho terpaksa mengambil alih tugas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 12:07 PM