MOCHI Musang King Boon Heong sudah terjual 3,000 kotak.
MOCHI Musang King Boon Heong sudah terjual 3,000 kotak.
Ferzalfie Fauzi


'REZEKI terpijak.' Itulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong apabila produk makanan berasaskan buah durian mendapat permintaan hangat.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Asia Doha 2006 itu, pertemuan dengan JMM Cookies dari Muar ternyata membuka lembaran baru dalam hidupnya terutama mengenai penjualan Musang King Durian Mochi.

"Pihak JMM Cookies bertanya saya berminat untuk buat perniagaan ini dan selepas merasai sendiri kuih Mochi itu saya sangat berpuas hati. Saya juga merasakan perniagaan ini boleh pergi jauh," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Boon Heong yang sudah biasa dengan aktiviti 'live' di Facebook ketika berbincang mengenai badminton tidak sangka sambutan diterima sangat menggalakkan.

"Apabila saya buat 'live' memperkenalkan makanan ini sambutan sangat luar biasa, tauke kilang kopi di Melaka pun menyatakan minat dan membuat tempahan.

"Sekarang saya wakil penjual dan mungkin satu hari nanti akan ada produk sendiri. Sekarang pun saya masih lagi baru hendak belajar dalam bidang ini dan pihak JMM Cookies seperti jurulatih saya," katanya.

Selepas tiga hari Boon Heong mengakui sudah menjual sehingga 3,000 kotak dan akan tampil 'live' semula Sabtu serta Ahad ini.

"Sekotak mengandungi enam biji dan harga jualan RM20 sekotak akan diturunkan kepada RM18 supaya ramai orang boleh merasai kenikmatannya. Paling menarik ia mengandungi 100 peratus isi durian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 8:33 PM