Alonso ketika memandu jentera rali. Juara dua kali F1 itu teruja berpeluang di Indianapolis 500. FOTO File AFP
Alonso ketika memandu jentera rali. Juara dua kali F1 itu teruja berpeluang di Indianapolis 500. FOTO File AFP
AFP

JUARA dunia dua kali Formula Satu (F1) dari Sepanyol, Fernando Alonso teruja mengenai peluangnya berlumba di Indianapolis 500 selepas Arrow McLaren melancarkan jenteranya hari ini bagi perlumbaan pada 23 Ogos ini.

Alonso memburu kejuaraan di litar 4km Indianapolis Motor Speedway bagi melengkapkan gelaran kejuaraan permotoran ketiga yang termasuk kemenangan di perlumbaan 24 jam Le Mans dan Grand Prix Monaco.

Hanya pelumba Britain, Graham Hill memenangi tiga perlumbaan berkenaan.

Alonso menang di Le Mans pada 2018 dan 2019 serta di Monaco pada 2006 dan 2007.

"Kami melancarkan dan saya melihat kereta untuk Indy 500 berkenaan. Saya suka kereta itu," kata Alonso menerusi rakaman video di media sosial.

"Saya fikir ia akan bertambah baik apabila berada di litar."

Alonso, 39, mendahului 27 pusingan di Indy pada 2017 sebelum mengalami kegagalan enjin dengan baki 21 pusingan dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-24.

Tahun lalu, Alonso gagal layak dalam kelompok 33 kenderaan.

"Saya tak sabar untuk berlumba kembali," kata Alonso.

Pandemik Covid-19 memaksa penangguhan perlumbaan edisi 104 bagi IndyCar yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 24 Mei lalu.

"Perlumbaan Indy 500, mungkin antara perlumbaan terbesar di dunia," kata Alonso.

"Kembali semula di sana untuk berlumba bersama pemandu lain sesuatu yang dinantikan. Mereka mempunyai bakat perlumbaan yang luar biasa. Diharapkan kita akan dapat melihat kehadiran sekumpulan peminat pada masa sama."

Penganjur Speedway memberitahu mereka merancang untuk meletakkan 50 peratus kapasiti penonton di ruang yang menempatkan 250,000 tempat duduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 11:56 AM