FERNANDO ALONSO
FERNANDO ALONSO
AFP

MIAMI: Juara dua kali perlumbaan Formula Satu (F1), Fernando Alonso menjulang pasukannya meraih kemenangan dalam perlumbaan 24 jam Daytona yang terjejas akibat hujan, awal pagi tadi.

Kejayaan itu membolehkan pelumba Sepanyol berusia 37 tahun itu menambah gelaran acara endurance Amerika Syarikat (AS) ke dalam senarai pencapaian kariernya, yang merangkumi 32 kemenangan podium F1 serta gelaran dunia 2005 dan 2006. 

“Menakjubkan. Ia satu pengalaman menakjubkan daripada ujian bebas hingga mencapai kejayaan pada hari perlumbaan,” kata Alonso.

“Kami amat kompetitif dalam semua keadaan – kering, lembap, malam dan siang.” katanya.

Alonso sudah membuat kemunculan dalam Daytona tahun lalu, namun bergelut kerana masalah mekanikal untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-38, sebelum memenangi acara 24 jam Le Mans.

Kali ini, Alonso memandu jenteranya ke petak kemenangan Daytona – meraikan kejayaan dengan meletakkan bendera Sepanyol di sekeliling bahunya.

“Saya fikir ia akan berada dalam senarai kemenangan yang bermakna,” kata Alonso. “Untuk memenangi saingan endurance di tempat ikonik seperti Daytona, cukup hebat. Saya sudah lama tidak merasai situasi sebegini. Jadi saya amat gembira dengannya.”

Alonso menghabiskan hujung minggu ini memandu jentera No. 10 Cadillac DPi-V.R di bawah pasukan Wayne Taylor Racing yang memulakan perlumbaan di kedudukan petak keenam bersama pemandu sokongan Kamui Kobayashi, Jordan Taylor dan Renger van der Zande.

Alonso kini akan cuba menyertai pelumba Britain, Graham Hill selaku satu-satunya pemandu yang memenangi semua tiga kejuaraan Grand Prix Monaco, Le Mans dan Indianapolis 500 apabila bertanding dalam acara akan datang pada 26 Mei ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 10:48 AM