Agensi

JAGUH superbike Britain, Ben Godfrey meninggal dunia dalam kemalangan ketika menyertai perlumbaan di Donington Park pada usia 25 tahun semalam.

Penunggang profesional itu terjatuh daripada motosikalnya ketika mengambil bahagian dalam acara No Limits Track Days.

Kenyataan penganjur berkata: "Ketika sesi kumpulan kedua hari ini (semalam) di Donington Park, Ben Godfrey, 25, berlaga dengan penunggang lain ketika menuju ke Redgate dan terjatuh dari jenteranya.

"Dia mengalami kecederaan serius dan walaupun diberi bantuan segera pembantu perubatan, dia gagal diselamatkan tak lama selepas itu."

Pengarah No Limits Trackdays, Mark Neate berkata: "Saya sangat sedih selepas Ben mati akibat kecederaan dialaminya.

"Ben seorang penunggang muda yang fantastik dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja termasuk di 'paddock', dia mudah tersenyum dan sentiasa berusaha meluangkan masa untuk sesiapa sahaja.

"Dia sangat gembira pada permulaan musim ini dan menyertai banyak perlumbaan bulan lalu.

"Simpati kami untuk keluarga, rakan sepasukan dan rakan-rakan yang lain."

Godfrey dijangka mewakili Team BGR pada Piala Ducati TiOptions di Silverstone tahun ini.

Seorang lagi bintang superbike Britain, Glenn Irwin antara yang memberi penghormatan terakhir menerusi Facebook : "RIP Ben Godfrey. Anda pergi pada usia masih muda. Takziah dan simpati kepada keluarga, rakan dan pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 1:26 PM