Pameran A Tribute To MH370 di Balai Seni Visual Negara yang berlangsung pada 2016. FOTO Ihsan Pembaca
Pameran A Tribute To MH370 di Balai Seni Visual Negara yang berlangsung pada 2016. FOTO Ihsan Pembaca
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penggunaan data sistem penjejak baharu dari Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) bagi mengesan kedudukan sebenar pesawat MH370 tidak tepat dan diragui.

Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Prof Madya Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, penggunaan data yang berbeza dari pelbagai sumber satu kaedah yang kreatif untuk 'pin point' secara jitu mengenai kedudukan akhir pesawat MH370.

"Penggunaan data dari WSPR itu satu perkara yang janggal dan menjadi persoalan dari segi teknikal kerana tenaga dari biasan isyarat dari pesawat MH370 adalah rendah sekali dan ini membuatkan ketepatannya dipersoalkan.

"Satu perkara lagi yang perlu diambil kira adalah isyarat dari pesawat juga akan terganggu dan menjadi lemah disebabkan isyarat itu mengalami refleksi dari jisim cecair iaitu lautan dan atmosfera sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey mengenai kedudukan sebenar MH370 di barat Perth, Australia.

Mengulas lanjut katanya, dakwaan Godfrey itu perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum sebarang usaha pencarian digerakkan ke kawasan didakwa berkenaan.

"Kita perlu kaji lebih lanjut lagi akan keberkesanan kaedah yang digunakan oleh Richard Godfrey kerana pencarian akan membabitkan kos yang amat tinggi.

"Sudah tentu menggerakkan aset-aset ke tempat pencarian yang salah adalah tidak wajar sekali dan merugikan negara," katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Gerakan mencari dilakukan di Lautan Hindi sebelum ditamatkan pada Januari 2017 serta diteruskan kembali pada 2018, namun masih gagal mengesan keberadaan pesawat itu.

Sejak kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines itu, pelbagai teori muncul mengenai keberadaan pesawat malang itu.

Terbaharu, Godfrey dalam temubual rancangan Sunrise terbitan media Australia mendakwa menghabiskan masa lebih setahun menyiasat kedudukan sebenar MH370.

Godfrey mendakwa dia menggunakan WSPR dengan menggabungkan data satelit, prestasi Boeing serta oseanografi untuk mengesan kedudukan sebenar MH370 iaitu pada kedalaman 4,000 meter dan kira-kira 2,000

kilometer di barat Perth.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:56 PM