TOURE bekas bintang Manchester City. FOTO Agensi
TOURE bekas bintang Manchester City. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


RM10 juta setahun! Itu anggaran semasa yang perlu disediakan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sekiranya berhasrat untuk 'meminang' bekas pemain Manchester City dan Barcelona, Yaya Toure.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, nilai berkenaan dilihat sangat tinggi dan ia menelan hampir 70 peratus kewangan pasukan selama semusim untuk mengharungi saingan liga tempatan.

Jelasnya, dengan nilai tidak masuk akal itu, beliau menjangkakan agak sukar buat mana-mana pasukan Liga M menyediakan dana sebesar itu termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT).

Malah dengan senario semasa bola sepak negara yang kini dipalit dengan isu tunggakan gaji dan pandemik Covid-19, impian melihat Toure beraksi di Malaysia sukar dan mustahil.

"Walaupun umur dia (Toure) dah dekat nak masuk 40 tahun, gaji dia masih mahal buat mana-mana pasukan dalam Liga M untuk bayar.

"Lebih kurang RM10 juta semusim adalah gaji dia saja. Jadi saya rasa takkan ada pasukan

tempatan yang mampu nak ambil dia.

"JDT salah satu destinasi terbaik untuk Toure dengan fasiliti yang moden dan serba lengkap. Tapi saya tak rasa JDT akan ambil risiko ini kerana gajinya mahal," katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan, bekas pemenang empat kali Anugerah Pemain Terbaik Afrika itu menyatakan hasrat beraksi di Asia Tenggara sebelum 'menggantung but' selepas hampir 20 tahun bergelar pemain profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Harcus Consultancy Group, Richard Harcus dipetik media antarabangsa mengesahkan Toure berminat menimba pengalaman beraksi di negara Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Mengulas lanjut, Effendi berkata, beliau menjangkakan Liga Indonesia mungkin menjadi destinasi pilihan Toure berdasarkan kekuatan kewangan yang dimiliki beberapa kelab di sana.

"Di Indonesia kebanyakan kelab dimiliki oleh ahli perniagaan yang kaya. Tak mustahil Indonesia tempatnya bahkan sebelum ini pun bekas pemain Chelsea iaitu Michael Essien pernah bermain di sana," katanya.

Untuk rekod, Liga Indonesia sebelum ini menggalakkan polisi pemain bintang dalam liga dan ia menyaksikan Essien yang juga bekas pemain tengah Chelsea, Real Madrid dan AC Milan menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung pada 2017 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 9:17 PM