AKSI musuh setempat antara Sevilla dan Betis bakal menjadi perlawanan pembuka tirai La Liga. FOTO Agensi
AKSI musuh setempat antara Sevilla dan Betis bakal menjadi perlawanan pembuka tirai La Liga. FOTO Agensi
AFP

PRESIDEN La Liga, Javier Tebas berkata semalam beliau berharap penyambungan semula antara saingan tertinggi di Eropah itu dapat diadakan pada 11 Jun dengan aksi sejiran Seville, dijadikan sebagai 'satu perlawanan untuk semua rakyat Sepanyol'.

"Berkemungkinan pada Khamis, 11 Jun kita akan menyaksikan perlawanan pertama La Liga.

"Kami berbesar hati untuk memberi laluan kepada pertemuan sejiran Seville, Real Betis menentang Sevilla.

"Ia menjadi harapan kami untuk mengadakan satu perlawanan saja, jadi pada hari itu pasukan berkenaan beraksi secara eksklusif buat seluruh rakyat Sepanyol sebagai penghormatan dengan apa yang berlaku sekarang," kata Tebas.

Tebas mengesahkan dalam beberapa hari lagi akan adanya pengumuman rasmi berkenaan dengan tarikh penyambungan semula La Liga yang sebelum ini ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

"Apa yang pasti saingan berkenaan akan berlangsung pada minggu kedua Jun," katta Tebas.

Kelmarin, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan La Liga boleh disambung semula bermula 8 Jun.

Semua perlawanan akan dilangsungkan tanpa penonton.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 10:08 AM