PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe (kanan) bergurau dengan ketua jurulatih pasukannya, Didier Deschamps ketika sesi latihan menjelang perlawanan Liga Negara-Negara UEFA. FOTO AFP
PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe (kanan) bergurau dengan ketua jurulatih pasukannya, Didier Deschamps ketika sesi latihan menjelang perlawanan Liga Negara-Negara UEFA. FOTO AFP
AFP

Madrid: Presiden La Liga, Javier Tebas berkata, liga Sepanyol itu akan membuat aduan rasmi kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) 'dalam tempoh satu atau dua hari' mengenai kontrak baharu Kylian Mbappe dengan Paris Saint-Germain.

Tebas berkata, 'mustahil tidak berlaku penipuan' sambil merujuk kepada peraturan fair play kewangan UEFA dan La Liga tidak akan membenarkan kelab Eropah merosakkan ekosistem bola sepak Eropah.

Mbappe menolak Real Madrid dengan menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun dengan PSG, minggu lalu, menyebabkan Tebas menyatakan perjanjian itu sebagai serangan kepada bola sepak berikutan kerugian kelab Perancis itu.

PSG mengalami kerugian AS$240 juta (RM1.015 bilion) pada musim 2020/21 iaitu meningkat 80 peratus berbanding musim sebelumnya, kata Pihak Berkuasa Kewangan Bolasepak Perancis (DNCG), awal Mei lalu.

"Draf aduan kepada UEFA itu sudah disiapkan dan kami dalam proses menyemaknya semula," kata Tebas sambil menyatakan ia akan dihantar dalam satu atau dua hari.

La Liga memperkenalkan sistem sekatan perbelanjaan pada 2013 termasuk bajet perbelanjaan bagi setiap kelab Sepanyol bergantung kepada situasi kewangan mereka.

La Liga menegaskan kawalan itu meningkatkan keseimbangan kompetitif dalam liga dan menggalakkan kelab mengamalkan perbelanjaan secara pelan jangka panjang.

"Kami tidak akan benarkan kelab Eropah merosakkan ekosistem bola sepak Eropah," kata Tebas.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual dengan AFP di Paris pada Jumaat lalu, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menolak kritikan La Liga terhadap perjanjian antara Mbappe dan PSG.

"Saya memang tidak setuju. Terlalu banyak penghinaan dalam bola sepak dan saya fikir setiap liga harus mengambil berat dan memikirkan mengenai situasi mereka sendiri," kata Ceferin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 10:15 AM