JAVIER Tebas. -FOTO AFP
JAVIER Tebas. -FOTO AFP
AFP

Madrid: Presiden La Liga, Javier Tebas berkata Liga Sepanyol akan memfailkan aduan terhadap Manchester City berhubung perjanjian menandatangani Erling Haaland dan akan mengambil tindakan terhadap tawaran PSG kepada Kylian Mbappe minggu ini.

City memenangi perlumbaan untuk mendapatkan Haaland dari Borussia Dortmund selepas membayar penyerang itu £51 juta (RM273.6 juta) namun perjanjian yang turut termasuk gaji dan yuran ejen itu dilaporkan boleh melebihi £250 juta (RM1,341.23 juta).

Kontrak baru Mbappe untuk tempoh tiga tahun ini akan menyaksikan PSG membayar pemain Perancis itu gaji tahunan antara 40 dan 50 juta euro (RM184.05-RM229.96 juta).

Selepas kontrak lanjutan Mbappe di sahkan bulan lalu walaupun Real Madrid berusaha untuk mengikat pemain berusia 23 tahun itu, La Liga berkata, mereka akan membuat aduan kepada Uefa, mahkamah pentadbiran Perancis dan Kesatuan Eropah.

"Saya tidak membela Real Madrid dengan isu Mbappe, saya membela bola sepak Eropah," kata Tebas.

"Minggu ini kami akan membuat aduan mengenai PSG, minggu lalu kami melakukannya terhadap City."

Tebas sudah lama menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu kewangan kelab yang mendapat sokongan daripada kerajaan seperti Manchester City dan PSG.

Katanya, kedua-dua kelab itu melanggar peraturan kewangan Uefa yang menjejaskan kestabilan pasaran dan mengganggu keseimbangan persaingan permainan.

Tebas berkata "membenarkan operasi seperti ini lebih bahaya daripada Liga Super (Eropah)."

PSG mengalami kerugian 224.3 juta euro (RM1,032,14 juta) pada 2020/21, meningkat 80 peratus berbanding tahun sebelumnya berdasarkan laporan tahunan daripada pihak berkuasa kewangan bola sepak Perancis (DNCG) yang dikeluarkan awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 8:07 AM