TAN Wee Kiong dan Goh V Shem 5-21, 23-21, 21-19 kepada gandingan India, Manu Attri-B Sumeeth Reddy. FOTO NSTP
TAN Wee Kiong dan Goh V Shem 5-21, 23-21, 21-19 kepada gandingan India, Manu Attri-B Sumeeth Reddy. FOTO NSTP
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Jika berdasarkan prestasi semasa, pasangan negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong, tidak layak berada dalam Program Podium.

Malah, bekas pakar beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sepatutnya bertindak bagi mencipta budaya kerja lebih harmoni dan bertanggungjawab dalam kalangan pemain serta jurulatih.

Perkembangan itu hadir selepas V Shem-Wee Kiong, bersama satu lagi pasangan beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, tersingkir di pusingan pembukaan Terbuka Jepun, hari ini.

V Shem-Wee Kiong tewas 15-21, 23-21, 21-19 kepada gandingan India, Manu Attri-B Sumeeth Reddy, manakala Yew Sin-Ee Yi tewas straight set 21-17,21-18 kepada pemenang pingat gangsa Sukan Asia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Pasangan profesional negara, Mohd Arif Latif-Nur Azriyn Ayub juga tersungkur selepas tewas 21-14, 17-21, 21-16 kepada gandingan Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto sekali gus menamatkan kempen Malaysia dalam acara beregu lelaki.

Jalani yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik 1992 bersama abangnya, Datuk Razif Sidek jelas tidak gembira dengan sikap yang ditunjukkan beberapa pemain senior yang secara terbuka menyalahkan jurulatih dan berkata ia hanya merosakkan reputasi badan induk itu.

“Secara peribadi, tewas di pusingan pertama Terbuka Jepun tidak boleh diterima. Benar, mereka adalah gandingan terbaik Malaysia (V Shem-Wee Kiong), tetapi sikap mereka menunjukkan perkara sebaliknya,” kata Jalani.

“Saya pernah membaca laporan pemain ini mengkritik jurulatih mereka. Di mana rasa hormat? Dan apa yang BAM atau Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) lakukan mengenainya.

“Perlu ada beberapa garis panduan, rujukan. Saya adalah pemain sebelum ini, saya juga berdepan isu dengan gandingan saya dan kami juga dilatih oleh ramai pihak, tetapi adakah kami mengeluh atau bersifat tidak menghormati? Tidak.

“Jika pemain tidak gembira dengan sesuatu, pergi ke pihak yang sepatutnya. Jika pemain senior terbaik tidak mempunyai rasa hormat kepada jurulatih, bagaimana rakan sepasukan kamu yang lebih muda untuk berkembang? Mereka akan mengikuti senior mereka dan tiada pengakhiran mengenainya.

“Saya memberi komen bukan kerana ingin mencipta masalah tetapi sebagai pemain kebangsaan kamu mempunyai tanggungjawab. BAM mengeluarkan belanja yang besar terhadap pemain ini, memberikan mereka kemudahan terbaik, tetapi sesetengah mereka amat besar kepala. Dan perkara ini perlu dihentikan.”

Jalani berkata, Program Podium direka untuk membantu pemain mencapai potensi terbaik mereka, justeru perlu ada kriteria yang ketat berdasarkan keputusan.

“Kita lihat bagaimana pasukan kita longlai di Sukan Asia, dan kini tewas di pusingan pertama Terbuka Jepun. Adakah mereka layak berada dalam Program Podium? Saya rasa tidak!

“Jika kamu ingin kembali ke Program Podium, kamu perlu membuktikan diri kamu. Jika kamu tidak boleh bekerjasama dengan jurulatih, jika kamu tidak bersedia mengikuti garis panduan yang ketat dan mahu menjadi bos, jadi beredar. Pergi menjadi profesional, kamu masih memakai bendera Malaysia di belakang baju kamu.

“Jangan merosakkan nama BAM,” kata Jalani.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 8:02 PM