K Yogendran. FOTO Ihsan Facebook K Yogendran.
K Yogendran. FOTO Ihsan Facebook K Yogendran.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan tenaga pengajar di akademi badminton akan digunakan sebaik mungkin jurulatih perseorangan lelaki, K Yogendran untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain terbaik negara pada masa akan datang.

Yogendran berkata, perlantikan beliau dalam barisan kejurulatihan perseorangan lelaki negara diharap dapat membantu mencipta lebih banyak kejayaan kelak.

Beliau berkata, pengalamannya terdahulu termasuk pernah beraksi di pentas Olimpik akan diterapkan kepada pemain perseorangan lelaki negara sekali gus diharapkan dapat membentuk barisan lebih mantap bagi menghadapi kejohanan di peringkat antarabangsa.

Katanya, ketika ini peranannya adalah membantu ketua jurulatih perseorangan negara, Hendrawan dan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann melatih serta merangka strategi berkesan untuk pemain lebih bersedia menghadapi kejohanan kelak.

"Jika diikutkan perbincangan sudah diadakan pada September sebelum ditawarkan oleh Choon Hann untuk melatih pemain perseorangan lelaki negara.

"Saya berperanan akan membantu dan menyokong Hendrawan dalam usaha membentuk perseorangan lelaki negara lebih baik," katanya.

Yogendran yang juga bekas pemain kebangsaan bersedia memperkuatkan perseorangan lelaki yang diketuai oleh Hendrawan dan dibantu Datuk Tey Seu Bock.

Yogendran, 39, mempunyai pengalaman menjadi jurulatih di luar negara apabila membimbing pasukan kebangsaan Mauritius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 4:23 PM