ALLI ketika dilihat menjalani latihan. FOTO Agensi
ALLI ketika dilihat menjalani latihan. FOTO Agensi
Agensi

PEMAIN tengah Tottenham Hotspur, Dele Alli dilihat kembali menjalani latihan sehari selepas berdepan detik cemas selepas rumahnya dimasuki perompak.

Bintang berusia 24 tahun itu menerima ancaman pisau serta ditumbuk di mukanya oleh pencuri yang menceroboh rumahnya di Utara London pada awal pagi Rabu lalu dan mencuri pelbagai barang termasuk tiga jam tangan bernilai £350,000 (RM1.8 juta).

Pemain antarabangsa England itu terkejut dengan insiden itu ketika dia sedang menjalani perintah berkurung di rumah bersama adiknya, Harry Hickford serta rakan-rakannya.

Alli bagaimanapun masih dapat melaporkan diri bersama kelab menjelang aksi Liga Perdana Inggeris yang dijangka bersambung semula bulan depan.

Menerusi akaun Instagram rasmi Tottenham Hotspur, Alli dilihat masih mampu tersenyum ketika menjalani sesi latihan di pusat latihan kelab itu di Enfield.

Alli menerusi akaun Twitter miliknya sebelum ini berkata, ia adalah pengalaman yang mengerikan tetapi dia serta rakan-rakannya berada dalam keadaan baik.

Kapten Tottenham, Hugo Lloris juga dilihat menjalani latihan bersama-sama penyerang, Harry Kane yang tidak dapat beraksi bersama kelab sejak tahun baru lalu kerana kecederaan otot.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 8:42 PM