Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.
Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.
Malik Muhamad


KITA sedar warga sukan khususnya di negeri ini boleh menjadi penyebab rantaian wabak pandemik Covid-19 tidak dapat diputuskan.

Demikian reaksi Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Beliau berkata demikian bagi mengingatkan atlet negeri khususnya kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) walaupun kerajaan pusat sudah memberi 'lampu hijau' membenarkan latihan di luar rumah bagi sukan tertentu yang tidak membabitkan permainan perhimpunan dan sentuhan.

Bagaimanapun beliau mengakui setakat ini MSNT belum lagi membuat arahan secara rasmi dan mengeluarkan garis panduan berhubung perkara itu bagi membenarkan sukan yang boleh berlatih di luar rumah.

MSNT akan mengeluarkan arahan secara rasmi selepas mendapat SOP daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun begitu katanya latihan di rumah tidak akan terhenti sebaliknya berjalan seperti biasa mengikut jadual yang sudah dirancang.

"Saya difahamkan ia dalam peringkat persiapan akhir, kemudian baharu kita akan berikan arahan secara rasmi kepada sukan-sukan yang dibenarkan.

"Namun begitu latihan persendirian tetap diteruskan dari rumah masing-masing.

"Ini kerana kita mengambil langkah berhati-hati ketika virus Covid-19 yang melanda negara setakat ini belum dapat diputuskan sepenuhnya lagi rantaiannya.

"Dalam masa sama kita juga tidak mahu warga sukan khususnya atlet negeri menjadi penyebab rantaian berkenaan tidak dapat diputuskan.

"Dalam masa yang sama atlet tetap dipantau latihan persendirian mereka oleh jurulatih masing-masing melalui video latihan dan semakan kadar nadi setiap atlet ini setiap hari latihan.

"Jurulatih membuat analisa dan menghantar laporan kemajuan latihan atlet masing-masing kepada MSNT secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 12:50 PM