KANE  pada aksi EPL Ahad lalu. Gambar kecil, Ronaldinho. FOTO AFP & Reuters
KANE pada aksi EPL Ahad lalu. Gambar kecil, Ronaldinho. FOTO AFP & Reuters
Agensi

London: Penyerang bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane sudah menjadi pemain yang paling dialu-alukan oleh semua kelab bola sepak di Eropah, kata legenda Brazil, Ronaldinho.

Kane menikmati musim mengagumkan di Spurs selepas menjaringkan 35 gol dalam semua kejohanan musim ini untuk kekal di landasan muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tiga musim berturut-turut.

Pemain kebangsaan England itu dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Ronaldinho percaya peledak berusia 24 tahun itu berkemampuan untuk beraksi di mana-mana kelab terbaik di dunia.

“Harry Kane sudah menjadi pemain yang hebat ketika ini, dan tidak dapat dinafikan pada musim ini dia sudah mencipta satu lagi tahap,” kata Ronaldinho kepada akhbar di Britain.

“Dia kini berada di tahap di mana semua pasukan di dunia mahu mendapatkannya. Dia boleh berjalan masuk ke mana-mana pasukan di Eropah.

“Barcelona, Real Madrid, Manchester City, tidak kira betapa kuatnya pasukan itu. Dia kini adalah salah seorang pemain di dunia yang semua pasukan akan memberikan ruang untuknya jika mereka berpeluang untuk mendapatkan tandatangannya.”

Ketika Spurs bertekad untuk mengekalkan Kane, Ronaldinho yang juga Pemain Terbaik Dunia sebanyak dua kali berkata kelab-kelab berkenaan sanggup membayar apa saja jumlah yang dituntut untuk mendapatkan pemain terbaik.

“Sejak beberapa perpindahan yang lepas, kita sudah melihat kelab-kelab terbesar di Eropah membayar apa saja yuran yang diperlukan untuk menandatangani pemain terbaik di dunia,” katanya.

“Mungkin empat atau lima kelab, mereka ketika ini di tahap yuran tidak lagi penting jika mereka mahukan pemain itu, mereka akan membayar apa saja yang diperlukan.”

Tottenham ketika ini menghuni tangga keempat EPL justeru berdepan cabaran sengit untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dengan Chelsea di tangga kelima hanya dibezakan dengan dua mata.

Spurs juga masih berpeluang untuk melangkah lebih jauh dalam saingan elit Eropah tetapi perlu mengatasi gergasi, Juventus di laman sendiri bagi aksi timbal balik peringkat 16 terakhir selepas perlawanan pertama di Itali berakhir seri 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 6:06 AM