NEGERI Sembilan antara pasukan yang tidak dapat meneruskan aksi susulan penangguhan Liga M. FOTO FB PBNS
NEGERI Sembilan antara pasukan yang tidak dapat meneruskan aksi susulan penangguhan Liga M. FOTO FB PBNS
Mohd Amin Jalil


"SAYA fikir banyak perkara sudah dipertimbangkan oleh Persatuan Bola Sepak

Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) apabila ingin meneruskan Liga Malaysia musim ini atau sebaliknya," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun.

Menurutnya, kedua-dua badan itu mempunyai kepakaran dalam membuat keputusan dan kemungkinan juga akan turut mengambil kira atau mencontohi kaedah yang dilakukan oleh pengurusan bola sepak dari beberapa negara lain di rantau ini.

"Jika Liga-M diteruskan kemungkinan juga akan menyaksikan stadium kosong tanpa penyokong.

"Malah, dari aspek keselamatan juga perlu diambil kira jika membenarkan penyokong hadir ke stadium dan sudah tentu satu prosedur operasi standard (SOP) diperlukan untuk memastikan penjarakan fizikal dipraktikkan.

"Ini sudah tentu memerlukan lebih ramai petugas daripada pasukan keselamatan

bertujuan mengawal keadaan dan percaya ini bukan suatu tugas mudah," katanya di sini, hari ini.

Sazali yang baharu dilantik mengendalikan skuad Hobin Jang Hobin musim ini berkata, jika perlawanan diadakan tanpa penyokong juga akan menyaksikan kemeriahan sukan utama itu tidak akan berlaku.

Pengendali berasal dari Johor itu berkata, berbeza jika Liga-M sudah menghampiri

penghujung saingan, ketika ini liga masih di peringkat awal dan banyak lagi

perlawanan yang perlu diharungi oleh setiap pasukan.

"Memang akan ada pro dan kontranya. Inilah cabaran yang akan dihadapi oleh FAM dan MFL serta ahli gabungannya dalam membuat keputusan berhubung kedudukan Liga-M musim ini.

"Dalam masa sama, kepentingan rakan kongsi (penaja) juga perlu diambil kira sama ada bagi FAM, MFL dan persatuan bola sepak negeri," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pegawai dan pemain sentiasa menunggu perkembangan itu kerana masing-masing mempunyai kontrak dengan pasukan disertai.

"Dalam hal ini, semua pihak perlu bersabar kerana wabak pandemik ini bukan dihadapi di negara ini tetapi seluruh dunia dan keputusan yang akan dbuat nanti sudah tentunya berpandukan kepada nasihat daripada pihak berrkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Justeru, semua pihak terutama pemain juga perlu akur jika ada majikan yang terpaksa mengambil tindakan pemotongan gaji sebagai langkah mengurangkan beban kewangan," katanya.

Dalam laporan media baru-baru ini, FAM dan MFL sudah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan saingan Liga-M sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, pihaknya sudah mempunyai perancangan teliti termasuk untuk kesemua pertandingan di bawah kelolaan FAM antaranya saingan Piala Belia dan Piala Presiden yang ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac lalu.

Stuart dilaporkan berkata, FAM dan MFL akan memperkenalkan SOP baharu yang perlu dipatuhi pasukan iaitu pemain serta pegawai pasukan wajib menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak penyakit berjangkit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 9:29 PM