STUART berkata FAM tetap terbuka menerima keputusan seandainya Liga-M terpaksa dibatalkan musim ini. FOTO Owee Ah Chun
STUART berkata FAM tetap terbuka menerima keputusan seandainya Liga-M terpaksa dibatalkan musim ini. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


NASIB saingan Liga Malaysia (Liga-M) kini terletak sepenuhnya di tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada disambung ataupun dibatalkan musim ini.

Jelas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menerusi mesyuarat khas bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya semalam, FAM memberi penerangan berhubung perancangannya dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Mesyuarat yang turut disertai Presiden FAM dan MFL, Datuk Hamidim Mohd Amin serta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyaksikan bayangan seolah Liga-M tetap mahu diteruskan musim ini dengan langkah-langkah pemeriksaan kesihatan akan diperketatkan.

Ia sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa badan induk itu mahu membatalkan saingan musim ini.

"Melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM sudah menghantar permohonan rasmi kepada MKN dan juga KKM bagi mendapatkan nasihat, pandangan dan kelulusan untuk mengunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan FAM dan badan pengendali Liga Malaysia, MFL menyambung serta meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac 2020.

"FAM dan MFL sudah tentu mengutamakan aspek kesihatan negara mendahului bola sepak. Namun sebagai badan induk bola sepak di Malaysia, kami perlu berusaha untuk mencari jalan supaya bola sepak dapat diteruskan dan sebab itulah kami mahu mendapatkan nasihat pakar daripada pihak yang bertanggungjawab," kata Stuart.

Bagaimanapun, FAM tetap terbuka menerima keputusan seandainya Liga-M terpaksa dibatalkan musim ini.

"Apa juga arahan atau sekatan daripada KKM atau MKN, FAM terbuka sepenuhnya untuk menerimanya dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan nanti walaupun ia membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, saingan liga tempatan kemungkinan akan diteruskan dengan perlawanan bakal dijalankan tanpa kehadiran penyokong seperti mana yang disarankan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.

Ia bagi menyelamatkan industri bola sepak daripada terkubur selain memastikan pemain tidak kehilangan mata pencarian sekiranya liga dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 6:28 PM