SYARIFUDDIN meraikan kemenangan di Perlumbaan 2 Pusingan 1 ATC. - FOTO FB Datuk Razlan Razali
SYARIFUDDIN meraikan kemenangan di Perlumbaan 2 Pusingan 1 ATC. - FOTO FB Datuk Razlan Razali
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


LAGU Negaraku berkumandang memberikan sejuta makna buat pelumba muda negara, Syarifuddin Azman selepas berjaya menakluk Litar Antarabangsa Losail, Qatar apabila muncul juara Perlumbaan 2 Asia Talent Cup (ATC) 2020, pada Ahad lalu.

Jutaan kesyukuran dipanjatkan Syarifuddin atau dikenali dengan panggilan Damok di atas kejayaan begitu bermakna buat dirinya.

Pelumba berusia 19 tahun itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang memberikan sokongan dan kepada mereka yang sentiasa memberi galakan kepadanya untuk terus maju ke depan.

Syarifuddin melengkapkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan terpantas, 30 minit 56.093 saat, 0.049s di depan pencabar dari Jepun, Kanta Hamada yang berada di tempat kedua.

Melengkapkan pentas podium bagi kempen pembuka tirai 2020 adalah pelumba Australia, Harrison Voight manakala seorang lagi wakil negara, Sharul Ezwan Sharil menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.

Bagi Syarifuddin, dia sedar kemenangan bukan sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama tapi sebenarnya kemenangan juga adalah memberikan yang terbaik.

“Saya sudah melakukan yang terbaik. Saya sangat bertuah kerana minat saya ini menjadi sumber rezeki. Saya gembira dengan apa saya lakukan dan bertuah kerana mempunyai kerjaya sebagai pelumba.

“Kini saya berjaya mencapai kejayaan besar yang tidak pernah saya fikirkan sebelum ini,” katanya.

Pada perlumbaan Ahad lalu, Syarifuddin turut menamatkan Perlumbaan 1 di pentas podium, melengkapkan saingan di tempat ketiga selepas bermula daripada petak kelima.

Selepas dua perlumbaan, pelumba muda itu kini berada di tangga kedua carta pelumba dengan 41 mata manakala Hamada mendahului kedudukan, 45 mata. Sharul berada di tangga kelapan dengan 16 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 2:03 PM