AZLAN (tengah) memenangi perlumbaan ketiga. FOTO TKKR Racing Team
AZLAN (tengah) memenangi perlumbaan ketiga. FOTO TKKR Racing Team
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hujan lebat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mewarnai perlumbaan Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 yang mana saingan perlumbaan kedua bagi kategori 600cc terpaksa dipendekkan kepada enam pusingan.

Manakala dalam aksi 1000cc pula menyaksikan dua pelumba berbeza menguasai perlumbaan.

Selepas Kasma Daniel Kasmayuddin menguasai perlumbaan pertama semalam, Mohd Zaqhwan Zaidi menebus kehampaan apabila muncul juara perlumbaan kedua manakala pelumba berpengalaman, Azlan Shah Kamaruzaman bergelar juara perlumbaan ketiga.

Pelbagai aksi menwarnai saingan 1000cc dengan aksi agresif Kasma ketika perlumbaan ketiga menyaksikan dia bersama Ahmad Daniel Haiqal dari pasukan MME Racing Team Malaysia terkeluar daripada saingan apabila terbabas di kawasan berbatu.

Ia membuka ruang buat Azlan menguasai perlumbaan selepas bergelut untuk mendapatkan keserasian sepanjang perlumbaan pertama dan kedua.

Azlan menamatkan perlumbaan ketiga dengan catatan 24 minit 18.716 saat.

"Pasukan kami berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pelarasan terbaik. Ia adalah jentera baru BMW S1000RR dan saya hanya menunggangnya sebanyak tiga kali termasuk hari ini.

"Tapi Alhamdulillah akhirnya ia membuahkan hasil apabila mula mendapat rentak pada perlumbaan ketiga seterusnya berjaya menamatkan perlumbaan di podium juara," katanya.

Sementara itu Mohd Helmi Azman daripada Boon Siew Honda muncul juara perlumbaan kedua bagi kategori 600cc mengatasi Syarifuddin Azman kedua dan Khairul Idham Pawi ketiga.

Manakala Azroy Hakeem Annuar menguasai perlumbaan ketiga selepas mencatatkan 25:01.663s mengatasi Ibrahim Norrodin (25:01.663s) dan Syarifuddin Azman (25:01.773s).

"Saya gembira mendapat peluang dan berjaya menguasai perlumbaan ketiga ini.

"Selepas terbabit dengan dua kemalangan sebelum ini, kemenangan ini begitu bermakna buat saya dan menyuntik semangat saya untuk terus mengejar kedudukan podium," kata Azroy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:44 PM