ORANG ramai berjalan melewati poster Grand Prix China di Shanghai. FOTO Reuters
ORANG ramai berjalan melewati poster Grand Prix China di Shanghai. FOTO Reuters
Reuters

GRAND Prix Formula Satu China ditunda susulan wabak koronavirus di negara itu, menurut penganjur hari ini.

FIA dan Formula Satu dalam kenyataan mereka berkata, persetujuan bersama telah dicapai untuk menunda perlumbaan itu yang sepatutnya berlangsung pada 19 April di Sirkit Antarabangsa Shanghai.

"Merujuk kepada kebimbangan berterusan akibat wabak koronavirus dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah pun mengisytiharkannya sebagai kecemasan kesihatan dunia, FIA dan Formula 1 terpaksa mengambil langkah ini," menurut dua badan itu.

Bagaimanapun, perlumbaan itu akan dijadualkan semula tahun ini jika situasi bertambah baik.

Grand Prix China kini tersenarai antara acara sukan yang dibatalkan atau ditunda susulan wabak koronavirus yang membunuh lebih 1,100 orang dan menjejaskan lebih 44,000 lagi di negara itu selepas kes pertama dikesan di Wuhan lewat tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 10:22 PM