KLOPP. FOTO Reuters
KLOPP. FOTO Reuters
Agensi

LONDON: Juergen Klopp menghormati Piala FA Inggeris tetapi ia tidak menghalang pengendali Liverpool itu daripada memberi keutamaan terhadap kesihatan pemainnya yang keletihan ketika pertembungan musuh setempat menentang Everton, malam ini.

Naby Keita menyertai senarai terbaharu Liverpool yang mengalami kecederaan pangkal paha ketika kemenangan 2-0 pendahulu Liga Perdana itu mengatasi Sheffield United, kelmarin.

Selepas turut kehilangan pemain pertahanan Joel Matip, Dejan Lovren dan Nathaniel Clyne, pemain tengah Alex Oxlade-Chamberlain, Xherdan Shaqiri, Fabinho serta penyerang Rhian Brewster, Klopp kini hanya memiliki 12 pemain senior yang cergas untuk diturunkan selain pemain baharu Takumi Minamino serta sejumlah pemain remaja.

Secara tradisinya, Liverpool akan membariskan skuad terkuat pada pertembungan pusingan ketiga Piala FA yang menyaksikan mereka bertemu pasukan tetangga Merseyside, Everton di Anfield.

Begitupun berdasarkan kedudukan Reds dalam sejarah Piala FA dan Klopp yang tidak pernah memenangi trofi itu, ia memberi petunjuk pengendali Jerman itu akan merehatkan beberapa pemain bintangnya yang keletihan selepas mengharungi jadual padat yang mana mereka terpaksa melalui enam perlawanan dalam tempoh 16 hari.

“Kami menghormati mereka dan menghormati pertandingan, menghormati orang yang mahu kami mencapainya, ia sebahagian perkara yang amat penting tapi saya tidak boleh melakukannya secara sesuka hati kerana siapa lawan kami,” kata Klopp.

“Orang sudah menuduh saya beberapa kali sebelum ini yang saya tidak menghormati pertandingan piala tapi ia tidak benar.

“Tugas utama saya adalah untuk menghormati pemain, kerja saya yang paling penting. Saya melihat mereka setiap hari, setiap saat, saya melihat mereka sepanjang masa dan saya perlu membuat keputusan iaitu membenarkan mereka bermain atau tidak.

“Kebiasaannya saya tidak emosi. Saya cuba membuat keputusan berdasarkan situasi dan bukan kerana pasukan lawan.”

Liverpool mengalahkan Everton 5-2 pada aksi Liga Perdana di Anfield sebulan lalu dan ia menjadi perlawanan terakhir bekas pengurus kelab itu, Marco Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:55 AM