ARSENAL berpeluang jarakkan mata di tangga teratas EPL. FOTO Agensi
ARSENAL berpeluang jarakkan mata di tangga teratas EPL. FOTO Agensi
AFP

London: Tiga pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) babitkan Arsenal dan Liverpool berpeluang merebut tangga teratas ketika di tengah-tengah sambutan perayaan Krismas apabila kedua-dua pasukan bertembung malam esok.

Namun jika tiada pemenang di Anfield, Aston Villa yang berada di tangga ketiga mampu menolak Arsenal dan Liverpool untuk berada di puncak buat kali pertama sejak tahun 1999 jika mampu menumbangkan kelab tercorot Sheffield United.

Selain itu, kerancakkan EPL pada hujung minggu ini turut babitkan pertembungan hangat antara Manchester United yang akan berkunjung ke West Ham manakala Everton akan bertandang ke kelab tangga kelima Tottenham.

Arsenal menghuni tangga teratas EPL dengan 39 mata daripada 17 perlawanan, satu mata di depan Liverpool dan lima berbanding Manchester City, yang beraksi pada Piala Dunia Kelab di Arab Saudi.

Jika The Gunners menang di Anfield, anak buah Pep Guardiola yang kini di tangga keempat, akan mendapati mereka ketinggalan lapan mata sekembalinya mereka ke aksi liga utama di Everton pada 27 Disember ini.

Tahun lalu City berjaya mengejar pendahulu Arsenal, akhirnya mengatasi mereka untuk memenangi kejuaraan EPL ketiga berturut-turut.

Sementara itu, pengurus Liverpool Jurgen Klopp menuntut suasana gegak gempita bagi memastikan penantian Arsenal untuk menang di Anfield sejak tahun 2012 berterusan.

"Kami perlukan Anfield membuat bising sejak saat pertama, tanpa perlu saya bertelagah dengan jurulatih lawan," kata Klopp selepas pasukannya membelasah West Ham 5-1 pada suku akhir Piala Liga Inggeris awal pagi semalam.

"Jika terlalu banyak aksi bola sepak pada bulan Disember, jika anda tidak berada pada tahap terbaik, berikanlah tiket anda kepada orang lain."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 12:27 PM