Ljungberg membincangkan sesuatu bersama pasukan kejurulatihan Arsenal. FOTO Reuters
Ljungberg membincangkan sesuatu bersama pasukan kejurulatihan Arsenal. FOTO Reuters
Reuters

BOS sementara Arsenal, Freddie Ljungberg berkata dia akan mendapatkan nasihat daripada bekas pengurus kelab itu Arsene Wenger ketika melakukan persediaan bagi perlawanan pertama di gelanggang sendiri sebagai pengendali pasukan itu menentang Brighton & Hove Albion.

Arsenal akan berdepan Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Jumaat.

Ljungberg yang dinamakan bos sementara susulan pemecatan Unai Emery minggu lalu, meneraju Arsenal seri 2-2 di Norwich City, Ahad lalu untuk melanjutkan rentetan kelab di tangga kelapan dengan keputusan tanpa kemenangan dalam enam perlawanan liga.

Warga Sweden, antara tonggak pasukan ‘luar biasa’ Wenger yang menempuhi musim dengan rekod tanya kekalahan yang membawa kepada kejuaraan liga pada 2003-04, berkata dia berhasrat untuk berbincang dengan pengendali Perancis itu dalam usaha mengubah nasib kelab itu.

“Saya mahu bercakap dengannya. Saya pernah berhubung dengannya namun saya tidak bercakap dengannya kerana agak sibuk kebelakangan ini, namun ia berada dalam perancangan saya.” kata Ljungberg.

Wenger meninggalkan Arsenal pada Mei tahun lalu selepas berkhidmat 22 tahun ketika dia melonjak kelab Liga Perdana Inggeris dan menjadi antara pengurus paling berjaya, menang tiga kejuaraan Liga Perdana termasuk tujuh Piala FA.

Pengendali berusia 70 tahun itu kemudian memaklumkan Sky Sports dia amat berbesar hari untuk membantu Ljungberg.

“Jika dia mempunyai kemahuan itu sudah tentu saya sentiasa bersedia. “Jiwa saya bersama kelab itu dan saya mahu mereka melakukan lebih baik. Freddie cukup komited dalam tugasnya... dia mempunyai peluang. Mari bantu dia bekerja bersama ideanya dan memberi sokongan kepadanya.”

Ljungberg berkata dia mahu mengubah suasana di Stadium Emirates.

Arsenal tewas 1-2 kepada Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa dalam keadaan stadium yang separuh kosong ketika perlawanan terakhir Emery sebagai pengurus.

“Apabila ia membabitkan Emirates, penyokong mahu kami menang dan mereka mahu kami beraksi dengan bola sepak yang bagus.

“Hanya satu cara untuk cuba dan memberikan suasana yang bertambah baik adalah untuk cuba dan melepasi perkara itu.” kata Ljungberg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 9:35 AM