DE Bruyne (dua kanan) menjaringkan gol ketiga City di Emirates. — FOTO Reuters
DE Bruyne (dua kanan) menjaringkan gol ketiga City di Emirates. — FOTO Reuters
Reuters

MANCHESTER City meneruskan tugas biasa dalam Liga Perdana Inggeris ketika persembahan memukau Kevin De Bruyne mengemudi kemenangan 3-0 ke atas Arsenal di Emirates, awal pagi tadi.

De Bruyne dari Belgium menghasilkan dua penyudah mengagumkan dan satu hantaran tepat buat Raheem Sterling ketika City kendalian Pep Guardiola memastikan kemenangan dalam tangan sebelum rehat.

Arsenal berjaya mengelak lebih banyak gol pada babak kedua ketika City menguasai namun ia 90 minit yang tidak selesa buat pengurus sementara Freddie Ljungberg yang menyaksikan pasukannya buntu.

Bagaimanapun penyokong City yang hadir tidak begitu meraikan kemenangan itu ketika juara bertahan, yang kehilangan lapan mata dalam lima aksi terakhir, kekal 14 mata di belakang pendahulu Liverpool.

STERLING (kiri) menyumbang satu gol buat anak buah Guardiola. — FOTO Reuters
STERLING (kiri) menyumbang satu gol buat anak buah Guardiola. — FOTO Reuters

Mereka bagaimanapun merapatkan jurang dengan pasukan tangga kedua Leicester kepada empat mata menjelang pertembungan antara dua pasukan itu hujung minggu ini.

Arsenal hanya mampu melakukan enam percubaan – catatan terburuk di laman sendiri dalam Liga Perdana sejak 2008 – sekali gus menghuni tangga kesembilan dengan 22 mata, tujuh mata di belakang kelompok empat teratas dan tidak menunjukkan tanda-tanda boleh meningkat dalam masa terdekat.

Ljungberg hanya mampu meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan sejak mengambil alih secara sementara selepas Unai Emery dipecat.

Kagum dengan persembahan City, Guardiola menyatakan persembahan ketika tewas 1-2 di tangan Manchester United minggu lalu lebih bagus.

“Kami bermain lebih baik ketika menentang United,” kata pengurus dari Sepanyol itu, yang mengendalikan perlawanan ke-200 buat City. “Saya sedar kami dinilai dengan keputusan tapi saya ada tugas untuk menilai persembahan, bukan hanya sekadar keputusan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 7:21 AM