AKSI  Aubameyang menjaringkan gol ketiga ketika menentang West Ham. - FOTO Reuters
AKSI Aubameyang menjaringkan gol ketiga ketika menentang West Ham. - FOTO Reuters
Reuters

ARSENAL menjaringkan tigal gol dalam tempoh sembilan minit pada babak kedua ketika bangkit menewaskan West Ham United 3-1 di tempat lawan awal pagi tadi sekali gus menamatkan kemarau tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam aksi Liga Perdana.

Hammers terlebih dahulu mengejutkan pelawat apabila mendahului tujuh minit sebelum rehat menerusi Angelo Ogbonna yang menanduk masuk hantaran Pablo Fornals di Stadium London.

Tetapi Arsenal kendalian jurulatih sementara, Freddie Ljungberg yang masih memburu kemenangan pertama sejak Unai Emery dipecat menyamakan kedudukan pada minit ke-60 hasil tindakan penyudah pemain Brazil, Gabriel Martinelli yang juga jaringan pertamanya dalam Liga Perdana.

Enam minit kemudian, Nicolas Pepe meletakkan pelawat di depan hasil rembatan melencung menarik ke penjuru kanan gawang tuan rumah sebelum Pierre-Emerick Aubameyang meledak rembatan jarak dekat untuk gol ketiga selepas mendapat hantaran Pepe.

"Selepas sekian lama tertekan, kemenangan ini amat bermakna kepada pemain dan anda dapat lihat berdasarkan persembahan mereka malam ini,” kata Ljungberg.

West Ham mengalami kekalahan ketiga berturut-turut di tempat sendiri dan menduduki tangga ke-16 dengan 16 mata, satu mata di atas zon penyingkiran manakala Arsenal melonjak ke tangga kesembilan dengan 22 mata daripada 16 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 7:07 AM