LJUNGBERG akan mengendali Arsenal buat kali pertama. FOTO/AFP
LJUNGBERG akan mengendali Arsenal buat kali pertama. FOTO/AFP
AFP

FREDDIE Ljungberg akan mengendalikan Arsenal buat kali pertama sebagai pemangku pengurus menentang Norwich malam esok tetapi tidak pasti sama ada pengurusan sepenuh masa serasi dengannya.

Pengendali Sweden berusia 42 tahun yang menganggotai skuad ‘Invincibles’ Arsenal di bawah kendalian Arsene Wenger pada musim 2003/04 diberi kepercayaan selepas Unai Emery dipecat semalam selepas 18 bulan bersama kelab itu.

Bagaimanapun Ljungberg - yang menjadi pembantu Emery - memberitahu masih terlalu awal untuk memberitahu sama ada menjadi pengurus tetap sesuai dengannya.

“Kita lihat apa berlaku pada masa depan,” kata Ljungberg.

“Ketika ini saya masih belajar.

“Ia satu tanggungjawab yang besar dan pada ketika ini saya menghadapinya satu perlawanan demi satu perlawanan.”

Tugas pertama Ljungberg adalah menyekat kejatuhan yang menyaksikan Gunners gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan - terburuk sejak 1992 apabila skuad kendalian George Graham gagal memenangi lapan perlawanan.

Arsenal ketika ini di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris, lapan mata daripada pasukan tangga keempat dan tiket terakhir Liga Juara-Juara dengan sepertiga kempen sudah berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 11:18 PM