Cheng Hoe (tengah) memperkatakan sesuatu kepada pemain pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. FOTO NSTP.
Cheng Hoe (tengah) memperkatakan sesuatu kepada pemain pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. FOTO NSTP.
Firdaus Hashim


BAGAIKAN perlawanan final! Itu senario terkini jualan tiket membabitkan skuad Harimau Malaya berdepan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, Selasa ini apabila sejumlah 74,308 tiket sudah terjual.

Walaupun ia hanya aksi peringkat Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, situasi berkenaan amat jarang berlaku di mana kebiasaannya sambutan hangat sebegitu cuma hadir apabila membabitkan aksi peringkat final ataupun separuh akhir.

Menurut kenyataan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tiada kaunter tiket akan dibuka di SNBJ pada hari perlawanan sekiranya tiket berkenaan habis terjual secara atas talian.

Stadium yang boleh memuatkan hampir 90,000 penyokong itu dijangka penuh dengan FAM turut memperuntukkan sejumlah 4,500 tiket bagi penyokong pasukan Indonesia seperti mana yang dimohon oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Baki tiket itu masih boleh didapati secara atas talian melalui www.tickethotline.com.

Dalam perkembangan lain, FAM juga sudah menghantar permohonan rasmi kepada pihak Prasarana untuk melanjutkan tempoh operasi LRT dan MRT pada hari perlawanan itu.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang meraih kemenangan penting ke atas Thailand pada Khamis lalu mensasarkan tiga mata penuh dalam aksi ini demi mencerahkan laluan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia itu.

Skuad Garuda yang masih gagal mengutip sebarang mata setakat ini juga memerlukan kemenangan demi ‘survival’ pasukan di dalam saingan Kumpulan G ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:28 AM