PENYOKONG Harimau Malaya mula membanjiri Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan pembukaan Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027. FOTO ASWADI ALIAS
PENYOKONG Harimau Malaya mula membanjiri Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan pembukaan Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027. FOTO ASWADI ALIAS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Suasana menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini agak lengang.

Tinjauan Arena Metro mendapati kelibat penyokong skuad Harimau Malaya seakan boleh dikira dengan jari.

Malah kelibat individu berjoging di sekitar perkarangan SNBJ dilihat sama ramai dengan penyokong bola sepak tempatan yang berbaju kuning yang menanti sepak mula perlawanan tepat jam 9 malam ini.

Malah agak memeranjatkan juga, apabila kebiasaanya pada jam 6.30 petang secara normalnya sudah kelihatan penyokong mula beratur masuk ke stadium namun sebaliknya berlaku.

Dapat dilihat seorang atau dua orang penyokong sahaja masuk pada setiap masa berbanding berpusu-pusu sebelum ini.

Begitupun, Arena Metro percaya jumlah kehadiran penyokong akan mula bertambah selepas jam 7 malam ini sebaik masing-masing pulang daripada tempat kerja untuk hadir ke SNBJ.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), setakat jam 6 petang sebanyak 15,385 tiket sudah terjual.

Aksi malam ini adalah perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan dalam Kumpulan D kelayakan kali ini.

Selain Malaysia dengan Kyrgyzstan, satu lagi kumpulan ini adalah antara Oman dan Taiwan yang berlangsung di Stadium Muscat di Oman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 7:20 PM