Agensi

FABIO Capello mempertahankan keputusan Maurizio Sarri untuk menggantikan Cristiano Ronaldo ketika Juventus menang 1-0 ke atas AC Milan dalam saingan Serie A.

Penyerang Portugal itu dilihat benar-benar berang selepas dikeluarkan pada m-55 dan digantikan dengan Paulo Dybala dalam aksi di Turin, semalam.

Ia adalah perlawanan kedua berturut-turut pemain handalan Juventus itu dikeluarkan.

Bagaimanapun, pertukaran dilakukan Sarri terbukti tepat Dybala kemudian menjaringkan gol kemenangan dengan Capello menegaskan Ronaldo 'mesti menghormati rakan sepasukannya'.

“Cristiano adalah juara hebat, tiada siapa boleh meraguinya.

“Bagaimanapun, dia tidak menggelecek mana-mana pemain sejak tiga tahun lalu,” kata Capello kepada media Itali.

“Buat masa ini dia tidak berada pada tahap terbaiknya dan ia perkara biasa untuk menggantikannya.

“Sarri tidak perlu menjadi berani atau menunjukkan personalitinya untuk melakukan perubahan itu.

“Ia bukan sesuatu menarik dia tidak duduk di bangku simpanan selepas dikeluarkan dan berbalah dengan Sarri.

“Seseorang perlu bergelar juara biarpun dia digantikan bukan hanya ketika keadaan tidak berada dalam keadaan terbaik. Dia mesti menghormati rakan sepasukannya.”

Kebanyakan media Itali memberi fokus terhadap reaksi Ronaldo digantikan dengan La Gazzetta dello Sport dan Corriere dello Sport menyifatkan bekas bintang Real Madrid itu 'benar-benar marah'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 8:05 PM
Capello (kanan) mahu Ronaldo hormati rakan sepasukan. FOTO REUTERS
Capello (kanan) mahu Ronaldo hormati rakan sepasukan. FOTO REUTERS