RONALDO sudah tiga musim bersama Juventus. FOTO EPA
RONALDO sudah tiga musim bersama Juventus. FOTO EPA
Agensi

Turin: Cristiano Ronaldo perlu menyelesaikan isu bersama rakan sepasukan dan pengurus di Juventus untuk mencipta kejayaan di Itali.

Demikian dakwaan legenda Juventus, David Trezeguet ketika membincangkan mengenai ikon Portugal itu ketika sesi temuramah selepas meninggalkan tugasnya bersama Juventus minggu ini.

Ronaldo, 36, sudah menjaringkan 101 gol sepanjang tiga musim bersama Juventus dengan memenangi dua kejuaraan Serie A dan Coppa Italia sejak tiba dari Real Madrid.

Penyerang sensasi itu sudah bekerjasama dengan beberapa pengurus namun Trezeguet mengakui baik Massimiliano Allegri, Maurizio Sarri atau Andrea Pirlo, kesemuanya tidak dapat mengawal Ronaldo.

Malah bekas penyerang itu yang meledak 171 gol untuk Juventus mendakwa tiada pengurus yang dapat mengawal Ronaldo sepertimana bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.

"Tiada siapa yang berjaya mengawalnya seperti dilakukan Zidane," kata Trezeguet kepada La Gazzetta dello Sport .

"Ronaldo mampu menjanjikan kemenangan untuk pasukan, begitu juga dengan (Paulo) Dybala. Manakala yang lain tidak."

Trezeguet melepaskan tugasnya selaku duta Juventus awal minggu ini dan dia turut mendedahkan suasana tidak harmoni di bilik persalinan antara Ronaldo dan rakan sepasukan lain.

"Sudah pasti terdapat masalah dengan rakan sepasukan tetapi dia tetap mampu menjaringkan 100 gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 12:20 AM