RONALDO (tengah) memanaskan badan bersama  pemain Portugal di Stadium Algarve, Faro. - FOTO AFP
RONALDO (tengah) memanaskan badan bersama pemain Portugal di Stadium Algarve, Faro. - FOTO AFP
Agensi

SALAH seorang rakan sepasukan Cristiano Ronaldo dalam skuad kebangsaan menegaskan bintang Portugal itu tidak mengalami sebarang kecederaan sekali gus bertentangan dengan dakwaan pengurus Juventus, Maurizio Sarri.

Sarri mendakwa Ronaldo mengalami kecederaan lutut berpanjangan memaksanya mengeluarkan pemain itu lebih awal dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Ronaldo bertindak balas dengan agresif apabila dikeluarkan pada minit ke-55 ketika Juve menewaskan AC Milan 1-0 sambil laporan di Itali mendakwa dia mencerca pengurusnya itu ketika bergegas menuju terowong.

Bagaimanapun, selepas melaporkan diri bersama Portugal untuk kelayakan Euro 2020 menentang Lithuania dan Luxembourg, Goncalo Paciencia menegaskan Ronaldo tidak bergelut dengan kecederaan.

“Saya tidak memiliki ijazah perubatan tetapi dia tampak sihat dan cergas pada pandangan saya,” kata Paciencia kepada akhbar A Bola. “Perkara paling penting ialah dia berada di sini kerana dia yang terbaik di dunia.”

Portugal memerlukan kecergasan Ronaldo dan bersedia beraksi untuk layak ke pusingan akhir Euro pada musim panas depan.

Mereka kini menduduki tangga kedua Kumpulan B tetapi pasukan tangga ketiga Serbia hanya satu mata di belakang dan mampu memintas mereka untuk slot kelayakan automatik.

Komen Paciencia hanya akan menghangatkan spekulasi hubungan Ronaldo dan Sarri yang tidak harmoni. Ronaldo digantikan lapan minit sebelum tamat perlawanan ketika Juve menewaskan Lokomotiv Moscow di Russia dalam aksi Liga Juara Juara minggu lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu melengkapkan 90 minit permainan dalam setiap aksi Serie A dan Liga Juara Juara selain dua perlawanan terakhir.

Menurut Gazzetta dello Sport, Ronaldo juga tidak akan dihukum susulan keceluparannya terhadap Sarri tetapi dijangka memohon maaf kepada rakan sepasukan di atas tindakan tidak kembali ke bangku simpanan.

Ronaldo turut berdepan hukuman gantung dua tahun berkaitan peraturan anti doping selepas dia didakwa meninggalkan Stadium Allianz lebih awal.

Sky Sport Italia melaporkan Ronaldo meninggalkan stadium tiga minit sebelum tamat masa perlawanan pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 9:12 PM