BELGIUM muncul juara Piala Dunia Hoki 2018 di Odisha, India. - FOTO Agensi
BELGIUM muncul juara Piala Dunia Hoki 2018 di Odisha, India. - FOTO Agensi
Saiful Affendy Sapran


HASRAT Malaysia untuk menganjurkan Piala Dunia lelaki dan wanita tidak kesampaian selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengumumkan India sekali lagi akan menjadi tuan rumah Piala Dunia lelaki 2023 manakala Sepanyol dan Belanda penganjur bersama Piala Dunia wanita 2022.

Keputusan badan induk itu mencetuskan persoalan apabila India menjadi tuan rumah Piala Dunia lelaki buat kali kedua berturut-turut selepas menganjurkannya tahun lalu.

Malah India juga pernah menganjurkan kejohanan berprestij itu pada 2010 selain Piala Dunia Remaja pada 2013 dan 2016.

Piala Dunia lelaki akan berlangsung dari 13 hingga 29 Januari 2023 manakala untuk wanita dari 1 hingga 17 Julai 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil berkata, pihaknya menerima permohonan daripada beberapa negara yang berminat untuk menganjurkan kejohanan itu.

"Adalah sukar untuk kami membuat pilihan. Oleh kerana misi utama FIH adalah untuk mengembangkan sukan ini di seluruh dunia yang sudah tentu mengambil kira aspek pelaburan dan pendapatan, potensi bagi setiap bidaan itu memainkan peranan penting dalam membuat keputusan.

"Kami akan bekerjasama dengan jawatankuasa penganjur tempatan berhubung beberapa aspek berkaitan penganjuran kejohanan ini," katanya menerusi satu kenyataan.

Lembaga Eksekutif FIH juga sudah meluluskan proses kelayakan ke Piala Dunia lelaki dan wanita. Tuan rumah bagi Piala Dunia akan layak secara automatik diikuti pemenang lima kejohanan benua.

Kemudian 10 lagi pasukan akan layak menerusi aksi play off timbal balik. Sebanyak 20 pasukan akan terbabit dengan aksi kempen kelayakan yang ditentukan menerusi kuota benua, kedudukan ranking dunia selepas berakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan penamat terbaik di kejohanan benua.

Konfederasi Hoki Malaysia (FIH) sebelum ini mengesahkan sudah membuat bidaan untuk Piala Dunia lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:38 PM