SUBAHAN (kanan) bersama Dr Shamala pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Owee Ah Chun
SUBAHAN (kanan) bersama Dr Shamala pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


MALAYSIA sah akan membuat bidaan untuk menganjurkan Piala Dunia Hoki Lelaki 2022.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perkara itu sudah mendapat persetujuan pada Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif kali ke-12, hari ini.

Subahan juga mengesahkan Malaysia akan membuat bidaan bagi menganjurkan Final Siri Hoki Dunia Lelaki 2019 untuk kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 serta Final Siri Hoki Dunia Wanita 2021 bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Ketiga-tiga permohonan bidaan itu akan dihantar serentak kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) minggu depan.

“Untuk Final Siri Hoki Dunia Lelaki 2019, kita hampir pasti akan menganjurkannya.

“Tapi bagi dua lagi bidaan termasuk Piala Dunia 2022, sudah pasti akan ada negara lain akan membuat bidaan juga.

“Segala-galanya terpulang kepada keputusan FIH,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif MHC di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden MHC Dr Shamala Subramaniam.

Bagaimanapun, Subahan berkata, berdasarkan kedudukan semasa Malaysia dilihat mempunyai pakej lengkap untuk menganjurkan Piala Dunia.

“Dari sudut fasiliti dan kemudahan lain, kita sudah ada. Malah stadium kita juga antara yang terbaik di dunia.

“Lagi pun sudah lama Malaysia tidak menganjurkan Piala Dunia dan sudah tiba masanya untuk kita menganjurkannya sekali lagi.

“Sudah pasti juga ia akan memberi impak besar dan membanggakan rakyat Malaysia,” katanya.

 Subahan sebelum ini menyatakan badan induk itu berminat untuk membuat bidaan Piala Dunia 2022, tetapi memerlukan persetujuan Ahli Lembaga Eksekutif.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan Piala Dunia adalah pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 9:08 PM