AZIZULHASNI ketika tiba di KLIA 2 selepas pulang dari Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
AZIZULHASNI ketika tiba di KLIA 2 selepas pulang dari Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Azlan Muhammad Zain

AZIZULHASNI Awang tidak ‘ralat’ walaupun terlepas emas dalam acara kegemarannya, keirin di Kejohanan Trek Asia, Korea Selatan.

Jelasnya, pencapaian meraih perak sudah cukup memuaskan hatinya kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan.

“Saya mengalami kecederaan pada jari empat minggu sebelum kejohanan...kemudian dihimpit pelumba India sehingga terjatuh dalam acara keirin. Begitu banyak dugaan yang saya hadapi kali ini.

“Jadi selepas tewas di perlumbaan pertama dalam pecut individu...saya katakan kepada diri sendiri bahawa tidak boleh terlepas emas selepas kecundang dalam keirin,” katanya yang tiba di KLIA2, sebentar tadi.

The Pocketrocketman pulang dengan emas peribadi ke-10 dari kejohanan peringkat benua berkenaan selepas bangkit menewaskan Yuta Wakimoto dari Jepun 2-1 dalam final pecut individu.

AZIZULHASNI bersama pingat emas dan perak yang dimenanginya dalam acara pecut individu dan keirin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
AZIZULHASNI bersama pingat emas dan perak yang dimenanginya dalam acara pecut individu dan keirin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Menurut Azizulhasni, dia akan meneruskan saingan di siri Piala Dunia Hong Kong yang dijadualkan hujung bulan depan.

“Ia bergantung kepada situasi semasa susulan keadaan rusuhan di sana. Keselamatan menjadi keutamaan,” tambahnya.

Selain Azizulhasni yang meraih emas (pecut individu) dan perak (keirin), skuad trek negara turut meraih perak menerusi Mohd Fadhil Zonis dalam acara satu kilometer ujian masa.

Manakala Fatehah Mustapa meraih dua gangsa dalam 500 meter ujian masa dan pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosidi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 12:37 AM