AZIZUL (kiri) bersama Anis memperagakan pingat perak yang dimenangi dalam acara keirin, hari ini. — FOTO Adzlan Sidek
AZIZUL (kiri) bersama Anis memperagakan pingat perak yang dimenangi dalam acara keirin, hari ini. — FOTO Adzlan Sidek
Azlan Muhammad Zain


JAGUH pecut negara, Azizulhasni Awang tetap tenang walaupun terlepas emas acara keirin pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara di Nilai, hari ini.

Shih Feng Kang dari Taiwan melakar kejutan apabila menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat di Velodrom Nasional.

Jelas The Pocket Rocketman yang meraih emas pecut individu semalam, dia melakukan pecutan awal ketika berbaki dua pusingan sebagai sebahagian latihan bagi menguji kemampuannya.

“Semuanya OK... final yang sengit. Saya memberikan sepenuh tenaga dalam baki dua pusingan. Ia sebahagian daripada latihan.

AZIZUL (kiri) bersaing hebat pada perlumbaan final keirin di Velodrom Nasional. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
AZIZUL (kiri) bersaing hebat pada perlumbaan final keirin di Velodrom Nasional. — FOTO Iqmal Haqim Rosman

“Ketika memperlahankan kayuhan menuju garisan penamat, ada pelumba yang memotong dan saya sudah tidak mampu meningkatkan kepantasan,” jelasnya yang meraih tempat kedua.

Aksi di Velodrom Nasional menjadi ‘pemanas badan’ buat pelumba elit negara yang baru saja menamatkan latihan di Eropah dengan tumpuan kepada peningkatan fizikal.

Rakan senegara, Anis Amira Rosidi turut terlepas emas dalam acara keirin wanita apabila tewas kepada Crismonita Dwi Putra dari Indonesia pada perlumbaan final.

Pelumba muda negara itu bagaimanapun mencapai sasaran untuk menaiki podium selepas kecewa terkandas dalam pecut individu semalam.

Malah ketua jurulatih negara, John Beasley melabelkan dia sudah bersedia untuk saingan siri Piala Dunia, November depan.

Ratu trek negara, Fatehah Mustapa yang meraih perak dalam pecut individu terpaksa akur di kedudukan kelapan keseluruhan acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 9:16 PM