Penyerang Finland, Teemu Pukki (kiri) menjaringkan dua gol buat pasukanya ketika berdepan Armenia. FOTO Reuters
Penyerang Finland, Teemu Pukki (kiri) menjaringkan dua gol buat pasukanya ketika berdepan Armenia. FOTO Reuters
Agensi

PENYERANG Norwich, Teemu Pukki meledak dua gol untuk membantu Finland mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Armenia sekali gus menghidupkan peluang pada aksi kelayakan Euro 2020.

Finland berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan J, lima mata mengatasi Armenia dan Bosnia-Herzegovina, yang tewas 1-2 kepada Greece.

Pukki menjaringkan kedua-dua gol pada separuh masa kedua untuk mencatat jaringan ketujuhnya dalam aksi kelayakan, dengan Fredrik Jensen menjaringkan gol pembukaan buat tuan rumah.

Dua perlawanan terakhir Finland adalah di gelanggang sendiri berdepan Liechtenstein dan bertandang ke Greece.

Finland tidak pernah layak pada pertandingan Piala Dunia atau Kejohanan Eropah, tetaoi kemenangan dalam satu daripada perlawanan itu bulan depan membolehkan mereka layak buat pertama kali dalam kejohanan utama.

Pukki ketika ini penjaring ketiga terbanyak negaranya dengan 22 gol, 10 di belakang pendahulu penjaring terbanyak Jari Litmanen.

Itali yang menewaskan Liechtenstein 5-0, berada di kedudukan teratas kumpulan dan mereka sudahpun layak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:07 PM