REAKSI Ten Hag ketika  United menentang Brighton di Old Trafford.
REAKSI Ten Hag ketika United menentang Brighton di Old Trafford.
Agensi

London: Erik ten Hag boleh mengubah nasib Manchester United tetapi perlukan masa untuk memulihkan semula reputasi kelab itu, menurut bekas pemain tengah Ajax dan Liverpool, Jari Litmanen.

Ten Hag dilantik pengurus di Old Trafford pada April lalu selepas cemerlang mengendalikan Ajax namun berdepan detik memalukan apabila tewas 1-2 kepada Brighton di tempat sendiri dalam aksi pertamanya di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Litmanen beraksi dua kali bersama Ajax sepanjang kariernya, meraih gelaran Eredivisie lima kali, tiga Piala KNVB dan Liga Juara-Juara.

Bercakap kepada media di Helsinki menjelang aksi Piala Super Uefa, dia berkata sama ada dia yakin Ten Hag berjaya di United: "Saya harap yang terbaik untuk Erik. Dia pengurus yang baik dan bagus. Dia menunjukkannya di Ajax tetapi dia perlukan masa.

"Mereka adalah kelab besar dan akan kembali ke puncak tetapi mereka perlukan masa. Saingan sangat sengit di England dan pasti sukar tetapi Erik pengurus yang bijak."

Litmanen turut ditanya mengenai kemungkinan Cristiano Ronaldo terus kekal di Old Trafford walaupun mahu dilepaskan untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim ini.

"Kita akan tunggu sama ada dia mampu mendapatkan yang terbaik daripada Ronaldo," kata Litmanen.

"Saya belum bercakap dengan Erik, jadi siapa tahu? Mungkin Ronaldo kekal sehingga tamat musim ini. Dia menunjukkan dia antara penjaring gol terbaik dalam sejarah dan jika dia pergi, seseorang perlu menggantikan tempatnya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 9:01 AM