BELOTTI (tengah) jaring dua gol julang Itali. -Foto Reuters
BELOTTI (tengah) jaring dua gol julang Itali. -Foto Reuters
Reuters

ITALI bangkit daripada kejutan awal apabila berjaya mengejar Armenia sebelum menang 3-1 dalam aksi kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi, di mana tuan rumah beraksi sepanjang separuh masa kedua dengan 10 pemain apabila penjaring gol Aleksandre Karapetyan dibuang padang.

Karapetyan meletakkan Armenia di depan pada minit ke-13 aksi Kumpulan J namun dibuang pada akhir separuh masa pertama selepas dilayangkan kad kuning kedua yang dianggap satu keputusan yang kejam.

Itali yang menyamakan kedudukan menerusi Andrea Belotti pada minit ke-28, memastikan kemenangan pada 15 minit terakhir menerusi jaringan sulung Lorenzo Pellegrini buat negaranya dan satu lagi jaringan daripada Belotti.

Bagaimanapun ia bukan laluan mudah buat Itali ketika Armenia terus memberi ancaman menerusi serangan balas bertali arus sebelum ‘kehabisan gas’ pada akhir perlawanan.

Itali yang juga pendahulu kumpulan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam kumpulan dengan 15 mata daripada lima perlawanan manakala Finland yang tidak pernah ke pusingan akhir, kekal di tangga kedua dengan 12 mata selepas menang 1-0 ke atas Greece menerusi penalti Teemu Pukki.

Kemenangan 5-0 Bosnia ke atas Liechtenstein meletakkan mereka di tangga ketiga dengan tujuh mana manakala Armenia yang menang 3-2 ke atas Greece sebelum ini di tangga keempat dengan enam mata.

Juara 2004, Greece meraih empat mata.

“Perlawanan menjadi sukar bagi kamai apabila pemain mereka dibuang padang apabila mereka mengetatkan pertahanan mereka,” kata jurulatih Itali Roberto Mancini.

“Hari ini perlawanan begitu sukar: pemain kami mempunyai dua perlawanan liga, Armenia di pertengahan musim. Ia bukan satu alasan tetapi kebenaran.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 8:22 AM