SUAREZ (kiri) rai gol jaringannya bersama rakan. - FOTO AFP
SUAREZ (kiri) rai gol jaringannya bersama rakan. - FOTO AFP
AFP

NANNING, China: Luis Suarez meledak gol ke-50 di peringkat antarabangsa ketika Uruguay menewaskan Republik Czech 2-0 untuk melangkah ke final Piala China, malam tadi.

Peyerang Barcelona itu turut mencipta peluang bagi gol kedua pasukan dari Amerika Selatan itu sekali gus menempah aksi final menentang Wales, Isnin ini.

Uruguay yang diundi bersama tuan rumah, Russia di Piala Dunia 2018 menguasai permainan dan mendahului seawal minit ke-10 menerusi penalti.

Selepas dijatuhkan pertahanan Republik Czech, Jiri Pavlenka, Suarez tidak mensia-siakan peluang berkenaan dengan menyempurnakan sendiri penalti untuk meletakkan Uruguay di depan.

Enam minit kemudian, Uruguay berpeluang untuk menggandakan kelebihan apabila Suarez bijak melonjak tinggi bagi menyambut hantaran berpunca sepakan percuma tetapi tandukannya di dalam kotak penalti meliar.

Republik Czech yang terlepas aksi di pusingan akhir Piala Dunia hampir menyamakan kedudukan tetapi rembatan pemain tengah, Antonin Barak dari luar kotak penalti diselamatkan penjaga gol, Fernando Muslera.

Gol kedua Uruguay muncul pada minit ke-26 menerusi penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani berpunca daripada hantaran Suarez dengan tiada jaringan dapat dijaringkan kedua-dua pasukan pada babak kedua.

Wales sebelum ini mara ke final selepas membelasah tuan rumah, China 6-0, semalam yang menyaksikan bintang Real Madrid meledak hatrik. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 12:43 AM