PERMAIN Jerman meraikan kegembiraan selepas menewaskan Estonia 8-0 awal pagi tadi. FOTO EPA
PERMAIN Jerman meraikan kegembiraan selepas menewaskan Estonia 8-0 awal pagi tadi. FOTO EPA
Reuters

JERMAN meledak lima gol dalam tempoh 27 minit separuh masa pertama untuk membenam Estonia 8-0 awal pagi tadi dan menjadikannya tiga kemenangan dalam tiga perlawanan kelayakan Euro 2020.

Jerman kini mengumpul sembilan mata, tiga di belakang pendahulu kumpulan Ireland Utara yang mencatat empat kemenangan daripada empat perlawanan tetapi memerlukan jaringan kemenangan Paddy McNair pada minit ke-86 untuk menewaskan Belarus 1-0.

Skuad Jerman bermula garang dan dua gol daripada Marco Reus dan satu masing-masing daripada Serge Gnabry, Leon Goretzka dan penalti Ilkay Guendogan memastikan perlawanan sudah memihak mereka seawal minit ke-37.

Permainan bola sepak yang pantas dan lancar langsung tidak memberi peluang kepada lawan biarpun meletakkan 10 pemain di depan gawang.

Jaringan kedua Reus, iaitu sepakan percuma dari jarak 20 meter adalah gol sepakan percuma pertama dari Jerman sejak 2007.

Gnabry kemudiannya meledak gol keduanya selepas rehat sebelum Timo Werner dan Leroy Sane turut mencatat nama selaku penjaring dalam aksi berat sebelah yang turut mengesahkan peningkatan prestasi Jerman.

Mereka tekad bangkit selepas tersingkir awal tahun lalu selain tersingkir daripada Liga Negara Eropah. Mereka juga menewaskan Belarus 2-0 Sabtu lalu.

“Kami mahu menjaringkan lebih banyak gol berbanding ketika menentang Belarus dan kami berjaya melakukannya,” kata Reus.

“Kami beraksi cemerlang pada setengah jam pertama, memiliki rentak yang bagus dan gaya hantaran kami memang menakjubkan.”

Jerman akan menentang Belanda pada 6 September manakala Ireland Utara yang menang empat perlawanan berturut-turut dalam kempen kelayakan buat kali pertama akan menanti kunjungan Jerman pada 9 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 9:18 AM