WERNER (tiga dari kanan) menjaringkan gol ketiga Jerman. -Foto Reuters
WERNER (tiga dari kanan) menjaringkan gol ketiga Jerman. -Foto Reuters
AFP

STUTTGART, Jerman: Timo Werner meledak dua gol apabila Jerman membelasah Norway 6-0 pada kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi namun anak buah Joachim Loew perlu menanti hingga bulan depan untuk mengesahkan tempat mereka ke Russia 2018.

Juara dunia itu menang semua lapan aksi kelayakan mereka setakat ini untuk mengungguli Kumpulan C dan tidak kalah dalam 17 perlawanan terakhir sejak tumpas kepada Perancis pada separuh akhir Euro 2016.

Bagaimanapun kemenangan 2-0 Ireland Utara ke atas Republik Czech di Belfast awal pagi tadi bermakna Jerman perlu menunggu hingga aksi kelayakan mereka seterusnya - menentang Ireland di Belfast pada 5 Oktober depan - bagi memastikan kemaraan mereka ke pusingan akhir Piala Dunia.

Werner melengkapkan persembahan gemilang dengan dua gol babak pertama (m-21 dan m-40) apabila Jerman mendahului 4-0 sebelum rehat di Stuttgart sekali gus menyaksikannya menyumbat enam gol dalam lapan penampilan antarabangsa.

PEMAIN Jerman meraikan kemenangan 6-0 ke atas Norway dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stuttgart. -Foto AFP
PEMAIN Jerman meraikan kemenangan 6-0 ke atas Norway dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stuttgart. -Foto AFP

“Ia amat bermakna buat saya apatah lagi ini kampung halaman saya,” kata Werner yang lahir di Stuttgart.

“Saya membesar di sini dan saya gembira dapat menjaringkan dua gol untuk membalas kepercayaan peminat.”

Pemain berusia 21 tahun itu diejek dan dicemuh oleh penyokongnya sendiri ketika menang 2-1 ke atas Republik Czech di Prague, hujung minggu lalu.

Dia memiliki reputasi buruk kerana menipu dengan menjatuhkan diri sendiri untuk memenangi sepakan penalti buat kelabnya RB Leipzig musim lalu.

Namun dia bangkit ketika menang di kampung halamannya, sesudah memulakan karier bersama VfB Stuttgart dan menerima tepukan gemuruh penonton di Arena Mercedes-Benz ketika digantikan pada minit ke-66 menentang Norway.

Selain dua gol Werner, Jerman mendapat jaringan menerusi Mesut Ozil (m-10), Julian Draxler (m-17), Leon Goretzka (m-50) dan Mario Gomez (m-79).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 9:25 AM