SKUAD B-20 Korea cipta sejarah di bumi Poland. — FOTO Getty Images
SKUAD B-20 Korea cipta sejarah di bumi Poland. — FOTO Getty Images
Reuters

PRESIDEN Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa menyifatkan kemaraan Korea Selatan ke final Piala Dunia Bawah 20 “menakjubkan” dan mencerminkan peningkatan standard di benua itu.

Korea Selatan layak ke final acara lelaki buat kali pertama dalam pertandingan FIFA selepas gol Choi Jun pada babak pertama menyaksikan mereka menundukkan Ecuador 1-0 pada separuh akhir di Lublin, Poland.

Korea mencipta kemaraan mengagumkan ke final, mengalahkan juara enam kali Argentina pada peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan Jepun, Senegal dan Ecuador.

Mereka akan berdepan Ukraine pada final di Lodz, Sabtu ini.

CHOI Jun meraikan gol tunggal kemenangan mengatasi Ecuador. — FOTO Getty Images
CHOI Jun meraikan gol tunggal kemenangan mengatasi Ecuador. — FOTO Getty Images

“Pencapaian mereka setakat ini amat menakjubkan dan saya berharap mereka akan terus bertindak cemerlang sekali gus memenangi pertandingan itu,” kata warga Bahrain itu dalam satu kenyataan AFC.

“Amat memuaskan untuk menyaksikan impak Korea Selatan dalam pertandingan itu yang jelas mencerminkan standard pasukan Asia semakin meningkat.”

Korea tidak dijangka untuk melepasi peringkat kumpulan dan kekalahan 0-1 di tangan Portugal pada aksi pembukaan menyebabkan mereka diramal tersingkir awal.

Namun kemenangan 1-0 ke atas Afrika Selatan dan kemudian mengejutkan Argentina 2-1 membolehkan mereka layak ke peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 9:33 PM