COSTA menjulang  Piala Super Cup UEFA, awal pagi tadi. FOTO/AFP
COSTA menjulang Piala Super Cup UEFA, awal pagi tadi. FOTO/AFP
AFP

TALLINN: Real Madrid mula terasa kehilangan Cristiano Ronaldo dan Zinedine Zidane apabila pemenang tiga kali Liga Juara-Juara itu tewas 4-2 dalam masa tambahan kepada pencabar setempat Atletico Madrid pada final Piala Super Cup UEFA, awal pagi tadi.

Selepas ketinggalan pada minit pertama hasil jaringan penalti Diego Costa, Real kembali bangkit melalui tandukan Karim Benzema dan penalti Sergio Ramos untuk meletakkan mereka di hadapan namun tidak bertahan lama apabila kelalaian di bahagian pertahanan dihukum Costa untuk menyamakan kedudukan sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Real yang kini dikendalikan bekas jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui tampak lebih kuat berbanding Atletico dalam perlawanan itu tetapi gagal menggunakan kelebihan tidak seperti ketika dikendalikan Zidane yang mampu menang perlawanan walaupun beraksi di bawah kemampuan sebenar.

Penguasaan Real di bahagian tengah mula terjejas selepas Casemiro terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan empat minit selepas itu Costa menjaringkan gol kedua untuk mengikat kedudukan 2-2.

Jaringan Saul Niguez dan Koke pada babak pertama masa tambahan membolehkan Atletico akhirnya membalas dendam kekalahan di tangan Real di peringkat Eropah selepas tewas pada final Liga Juara-Juara 2014, 2016 dan disingkirkan jiran mereka itu pada 2015 dan 2017.

Real jelas terasa ketiadaan pemain berkarisma seperti Ronaldo, penjaring prolifik mereka yang bulan lalu menyertai juara Itali, Juventus selepas sembilan tahun mengharungi musim gemilang di Santiago Bernabeu.

Real hanya membeli pemain pertahanan Alvaro Odriozola, penjaga gol Thibaut Courtois dan pemain remaja Brazil Vinicius Jr.

Penyerang Real Gareth Bale, Marco Asensio dan Karim Benzema semuanya berbakat tetapi mereka kekurangan kualiti inspirasi seperti yang dimiliki bintang Porrtugal itu.

Bagaimanapun Lopetegui tetap memuji persembahan pemainnya dan berkata Atletico berhak memenangi perlawanan itu.

"Final selalunya dimenangi pasukan yang bijak mengambil peluang dan Atletico memang pakar dalam hal ini dan mereka berhak menang,” kata jurulatih Real itu.

"Kami tak gembira dengan keputusan ini, bukan sesuatu yang biasa kami bolos empat gol dan kami perlu perbaikinya. Pemain tetap beraksi dengan baik tetapi kami dihukum dengan empat jaringan.”

Lopetegui yang dipecat selaku jurulatih Sepanyol pada Piala Dunia lalu mempunyai tugas getir menggantikan Zidane yang memilik reputasi cemerlang selepas menjulang sembilan trofi dalam masa tiga tahun mengendalikan Real termasuk tiga kali berturut-turut menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, jurulatih itu yakin anak buahnya belum puas dan tetap dahagakan kejayaan.

"Memang benar kami menang banyak perlawanan tetapi kami perlu fokus cabaran baru musim ini dan melupakan yang lalu,” kata Lopetegui.

Real akan menerima kunjungan Getafe dalam perlawanan pertama La Liga pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 8:19 AM