KEMASUKAN Gareth Bale gagal membantu pasukannya mencipta kemenangan. FOTO Reuters
KEMASUKAN Gareth Bale gagal membantu pasukannya mencipta kemenangan. FOTO Reuters
Reuters

KEBANGKITAN Real Madrid dalam kancah La Liga tergendala seketika apabila tewas 1-2 di laman sendiri kepada Girona malam ini, ketika kaptennya, Sergio Ramos dibuang padang pada masa tambahan dan mereka kini ketinggalan sembilan mata berbanding pendahulu Barcelona.

Real berada di landasan tepat untuk menjulang gelaran keenam berturut-turut apabila Casemiro melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran Toni Kroos dan meletakkan mereka di depan pada pertengahan separuh masa pertama.

Namun Girona yang tidak mencatat sebarang kemenangan liga sejak November bangkit pada separuh masa kedua, menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi penalti Cristhian Stuani selepas bola terkena tangan Ramos.

Penyerang Sepanyol, Cristian Portu meletakkan Girona di depan 10 minit kemudian, berjaya mengatasi kealpaan pertahanan Real Madrid, Marcelo untuk menanduk bola muntah selepas Thibaut Courtois sekadar menepis rembatan penyerang pelawat, Anthony Lozano.

Pemain gantian Real Madrid, Gareth Bale dan Vinicius Jr masing-masing mensia-siakan peluang menyamakan kedudukan dan keadaan menjadi lebih buruk apabila Ramos dilayangkan kad kuning kedua pada minit terakhir dan dibuang padang.

Penjaga gol Real Madrid, Courtois hampir saja menyamakan kedudukan pada babak akhir namun tandukannya tersasar menyebabkan pasukan itu kini berada di tangga ketiga dengan 45 mata, sembilan mata di belakang pendahulu Barcelona dan tujuh berbanding Atletico Madrid di tangga kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 10:36 PM