Pemain Real Madrid, Luka Jovic (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika berdepan Osasuna. FOTO AFP
Pemain Real Madrid, Luka Jovic (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika berdepan Osasuna. FOTO AFP
Reuters

PENDAHULU La Liga, Real Madrid meneruskan aksi cemerlang selepas bangkit dari ketinggalan untuk menang 4-1 ke atas Osasuna, awal pagi ini.

Ia kemenangan kelima saingan liga bagi skuad yang memberi respon selepas kekalahan kepada Real Sociedad dalam saingan Piala Raja Sepanyol.

Real memulakan permainan agak buruk dalam suasana di penuhi penyokong Osasuna di Stadium Sadar, Unai Nunez memberi gol pendahuluan buat tuan rumah menerusi tandukan terbang dari sepakan sudut pada minit ke 14.

Pelawat mula mempamerkan aksi cemas, bagaimanapun, pemain tengah, Isco menyamakan kedudukan pada minit ke 33 menerusi rembatan voli disusuli cubaan Gareth Bale untuk menjaringkan gol menerusi tandukan dan rembatan Karim Benzema berjaya diselamatkan.

Kapten Sergio Ramos meletakkan Real di depan lima minit kemudian menerusi tandukan dari jarak dekat selepas menerima hantaran Casemiro sementara pemain gantian, Luca Vazquez dan Luka Jovic melebarkan kedudukan menerusi jaringan lewat.

“Ini adalah perlawanan klasik menentang Osasuna, kami tahu bagaimana kesabaran penyokong mereka dan mereka memberikan kamu tekanan yang sebenar.

“Mereka mendahului awal permainan tetapi kami kekal tenang dan kembali menguasai permainan,” kata Casemiro kepada wartawan.

“Kami baru sahaja disingkirkan daripada saingan Piala dan ini adalah perlawanan sukar kepada kami secara mental tetapi kami menunjukkan usaha untuk bersaing memenangi setiap kejohanan lain yang disertai dan memperoleh tiga mata penting.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 6:45 AM